KOTA BHARU: Jumlah kehadiran yang ramai di pentas ceramah Barisan Nasional (BN) tidak boleh dijadikan ukuran kemenangan berpihak kepada calon daripada parti itu.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Senator Datuk Husam Musa berkata, ini kerana kebanyakan yang memenuhi tempat ceramah itu terdiri daripada penyokong serta jentera parti dan bukannya pengundi.

Beliau menjelaskan, walaupun terdapat kajian daripada badan bukan kerajaan mendakwa BN berpeluang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, namun terdapat kajian lain yang mendakwa sebaliknya.

“Saya kira kehadiran dalam ceramah tidak semestinya jadi ukuran, kerana kita lihat, yang ada dalam ceramah MCA, yang pakai t-shirt MCA, iaitu orang parti.

“Yang mengundi, bukan orang parti sahaja, (tetapi) orang kampung dan rakyat. Saya kira Pakatan Harapan (PH) ada kelebihan,” kata Husam di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Pengerusi PH Kelantan berharap pengundi di Tanjung Piai memberi peluang kepada kerajaan PH kerana, katanya, kerajaan baharu memerlukan masa untuk menunaikan janji dan membaik pulih keadaan.

Sepanjang setahun pentadbiran PH, tumpuan diberikan untuk mengembalikan negara kepada landasan asal dan memperbaiki keadaan akibat penyelewengan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

BACA: Uniknya PRK Tanjung Piai dapat ‘satukan’ Pas dan MCA

Pengundian PRK Tanjung Piai diadakan Sabtu ini susulan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada 21 Sept lalu akibat komplikasi jantung.

Ia menyaksikan pertandingan enam penjuru yang melibatkan calon PH Karmaine Sardini, calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.





Source link