KOTA BHARU: Sekeping roti empat segi setebal kira-kira satu inci (2.54 sentimeter) dibakar perlahan-lahan selama satu minit dan setelah itu, Wong Nye Hua, 63, meletakkan sebiji telur separuh masak dan empat sudu kaya buatan sendiri di setiap penjuru roti tersebut sebelum dihantar kepada pelanggan yang mengunjungi Kopitiam Kita.

Roti tersebut, yang diberi nama ‘Roti Titab’ menjadi buruan terutama kepada pelancong domestik sehingga ada yang sanggup menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu untuk mencuba keunikan rasa roti itu.

Berkongsi pengalaman bagaimana mencipta roti itu, Wong yang merupakan pemilik kopitiam itu berkata ia bermula pada 2010 ketika sedang bercuti ke Guangzhou, China selepas melihat bagaimana peniaga di sana mengambil sarapan pagi sebelum memulakan hari mereka.

“Di Guangzhou, saya lihat terdapat pelbagai roti dijual dan antara yang popular adalah roti yang dimakan bersama telur dan sos tomato.

Daripada situ, tercetus idea kepada saya untuk mencipta Roti Titab dan mula diperkenalkan kepada pelanggan hampir 10 tahun lepas,” katanya ketika ditemui di Kopitiam Kita di Taman Desa Jaya, Jalan Pengkalan Chepa di sini, pada Isnin.

Beliau berkata di peringkat awal, beliau memberi secara percuma Roti Titab kepada pelanggan yang singgah untuk menikmati sarapan pagi bagi mendapatkan reaksi mereka.

“Hampir sebulan saya memberi Roti Titab secara percuma kepada pelanggan dan ada yang mengatakan makanan itu sangat sedap sebelum ia tersebar dari mulut ke mulut dan kemudian tular di laman media sosial.

Sejak itu, Roti Titab menjadi ‘hidangan pengenalan’ di kopitiam yang saya usahakan sejak 14 tahun yang lepas,” katanya yang kini mempunyai 30 pekerja berbangsa Melayu bagi menguruskan kopitiam yang dibuka setiap hari bermula pukul 6.30 pagi sehingga 2.30 petang itu.

Ditanya bagaimana mendapat idea memberi nama Roti Titab itu, Wong berkata beliau melihat roti berkenaan tebal seperti sebuah kitab dan menukar namanya menjadi Titab.

“Roti ini pula dibekalkan oleh sebuah kedai roti yang membuat khusus roti berkenaan untuk kopitiam saya,” katanya.

Roti Titab merupakan roti Hailam bakar yang disapu, di tengah-tengahnya telur separuh masak dan seri kaya, menjadi kegemaran orang ramai ke kopitiam yang terletak di Taman Desa Jaya, Jalan Pengkalan Chepa. --fotoBERNAMA

Oleh kerana Roti Titab yang semakin popular dan ramai peniaga yang meniru pembuatannya, Wong memutuskan untuk mematenkan nama Roti Titab melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada 2016 dan kini dalam proses untuk mematenkan cara pembuatan roti berkenaan pula.

Wong berkata beliau mampu menjual antara 400 hingga 500 keping Roti Titab setiap hari dan ia kini mempunyai 20 jenis Roti Titab yang berbeza.

“Secara asasnya, Roti Titab mempunyai dua perisa (kaya) iaitu klasik dan pandan, dan bagi setiap perisa mempunyai lapan jenis perisa yang berbeza seperti Roti Titab Scrambled, Roti Titab Miskin dan Roti Titab Telur Mata.

Harga pula serendah RM5 bagi Roti Titab biasa dan untuk Roti Titab Special (Istimewa) pula adalah RM6,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Shahrir Rahim, 34, dari Kampung Padang Sakar, Salor di sini, berkata ia merupakan kunjungan kali kedua beliau ke Kopitiam Kita untuk merasai keunikan Roti Titab.

Shahrir, yang menetap di Kulim, Kedah berkata beliau berkunjung kali pertama ke kedai itu kira-kira empat bulan yang lepas ketika pulang ke kampung setelah diajak rakan-rakannya untuk bersarapan di situ.

“Saya juga pernah melihat mengenai Roti Titab ini di media sosial selepas ia ditularkan dan kebetulan ketika pulang bercuti ke kampung, ada rakan ajak ke kedai ini.

Hari ini saya bawa pula isteri dan adik ipar perempuan untuk merasai keunikan Roti Titab sebelum pulang ke Kedah malam ini,” katanya.

— BERNAMA





Source link