KUALA LUMPUR: Pembeli China menyumbang jualan hartanah sebanyak RM8.4 bilion pada 2018, atau 12.2 peratus daripada jumlah nilai urus niaga dan 0.4 peratus daripada jumlah urus niaga saham, menurut laporan ekonomi portal hartanah antarabangsa China, Juwai.com dan rangkaian agensi hartanah Malaysia, IQI Global.

Laporan itu menyatakan bahawa pembeli China menyumbang kesan berganda yang ketara dengan kesan pelaburan mereka melimpah ke sektor lain, seperti peruncitan, hospitaliti, pembuatan, perbankan, insurans dan pengangkutan.

“Terdapat perbahasan yang hebat di Malaysia tentang sama ada pelaburan asing baik atau tidak untuk negara. Kami mahu memastikannya dan melakukan penyelidikan mengenainya.

“Ternyata pembeli hartanah warga asing memberi impak positif terhadap ekonomi, yang melepasi harga belian yang mereka bayar selain bayaran fi dan cukai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IQI Global, Kashif Ansari.

Beliau berkata, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang membahaskan bersungguh-sungguh manfaat pembeli hartanah warga asing.

“Apa yang menjadikan Malaysia istimewa ialah terdapat rejim dasar yang sangat kuat dan berkesan yang menjuruskan pembeli warga asing ke bahagian pasaran hartanah yang memberi manfaat terbaik kepada negara.

“Di Amerika Syarikat (AS), sebagai contoh, di sana hampir tiada sekatan terhadap pembeli luar pesisir,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan Malaysia mempunyai banyak kawalan terhadap pembeli hartanah warga asing berbanding kerajaan AS dan banyak negara lain.

Pengerusi Eksekutif Juwai.com, Georg Chmiel berkata, China membuat 16.5 peratus lebih banyak pertanyaan mengenai hartanah Malaysia pada suku ketiga tahun ini berbanding tempoh suku yang sama pada 2018.

Beliau berkata, pertanyaan untuk pembelian merosot daripada paras tertingginya pada suku pertama tahun ini namun kekal melebihi paras purata pada 2018.

“Pada suku pertama 2019, Malaysia adalah negara kelima paling popular di dunia dari segi pertanyaan pembelian hartanah dari China,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, dari segi jumlah nilai pelaburan hartanah China, Malaysia menduduki ranking terendah, dengan Thailand, Jepun, Australia dan Kanada mengatasi Malaysia sebagai empat destinasi paling popular kepada pembeli China.

“Malaysia menarik perhatian pembeli terutama daripada aspek gaya hidup, persaraan atau pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, negara mempunyai standard cara hidup yang berpatutan, kehidupan yang berkualiti tinggi, kemudahan perubatan dan institusi pendidikan yang boleh diakses.

“Malaysia secara konsistan menduduki ranking terbaik sebagai tempat tinggal. Ia memang sebuah negara yang hebat. Saya tahu ramai rakyat Malaysia yang sangat bangga dengannya,” katanya.

Beliau menambah, bahawa orang China yang membeli hartanah di Malaysia bukan sahaja mewujudkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan pekerjaan bahkan turut membayar fi dan cukai tempatan serta meningkatkan industri pelancongan.

Menurut laporan itu, kira-kira RM4.3 bilion pembinaan bangunan kediaman baharu di Malaysia di sasarkan kepada pelabur China dan warga asing.

Katanya, permintaan pembeli China dari Tanah Besar untuk hartanah kediaman terus menyokong sebahagian daripada 37,800 rakyat Malaysia dan pekerja asing tempatan dalam sektor pembinaan bangunan kediaman. – BERNAMA





Source link