ISKANDAR PUTERI: Hasrat seorang wanita untuk menjadi model bukan sahaja lebur malah turut berdepan detik cemas apabila dia dan teman lelakinya disamun oleh lelaki yang menawarkan pekerjaan itu.

Lebih malang, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai berusia 23 tahun itu turut dicabul suspek yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook.

Difahamkan, pasangan kekasih itu tiba di negeri ini dari Kuala Lumpur kira-kira jam 8 pagi semalam akibat terpedaya dengan tawaran suspek yang memilih wanita itu terlibat sebagai model dalam satu penggambaran.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersetuju untuk datang ke negeri ini selepas dijanjikan suspek upah bernilai RM3,000 untuk menjadi model.

Menurutnya, kedua-dua mangsa tiba di negeri ini menggunakan kereta jenis Perodua Myvi milik rakan mangsa lelaki sebelum mengambil suspek di Pontian pada jam 12.30 tengah hari.

“Selepas mengambil suspek itu, ketiga-tiga mereka terus menuju ke arah Lima Kedai, Gelang Patah. Sebaik tiba di lokasi berkenaan, suspek yang berada di tempat duduk belakang tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang panjang lalu meletakkannya di leher teman lelaki mangsa.

“Suspek juga bertindak menarik teman lelaki mangsa keluar dari kereta berkenaan sebelum mengurungnya di dalam bonet kereta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, suspek kemudiannya masuk semula ke dalam kereta dengan bersenjatakan parang sebelum mencabul mangsa dan merakam perbuatan terkutuk itu menggunakan telefon bimbit miliknya.

“Sebaik selesai melakukan perbuatan itu, suspek telah memandu kereta berkenaan menuju ke satu kawasan kebun sawit di Pontian sebelum meninggalkan kedua-dua mangsa.

“Berdasarkan keterangan, mangsa juga diugut oleh suspek untuk menyebarkan video cabul yang telah dirakam itu sekiranya mangsa tampil membuat laporan polis.

“Dalam kejadian itu, suspek juga telah melarikan kereta bersama barang-barang milik mangsa yang berupa pakaian, telefon bimbit, kad bank, alat solek dan kasut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392, 397, 377C, dan 354 Kanun Keseksaan,” katanya.





Source link