[ad_1]

KOTA BHARU: Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah melepaskan jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) selepas setahun menerajui badan induk bola sepak negeri berkenaan.

Setiausaha Agung Kafa, Husin Deraman mengesahkan peletakan jawatan Wan Rahim itu atau lebih dikenali ‘Cikgu Rahim’ bagi menerajui Kafa.

“Peletakan jawatan itu berkuat kuasa sejak 6 Julai lalu iaitu genap setahun beliau menjadi presiden Kafa selepas dipilih pada Kongres Luar Biasa (EGM) Julai 2019.

“Beliau membuat keputusan melepaskan jawatan itu susulan tidak lagi mampu memimpin Kafa dan untuk memberikan laluan kepada pemimpin baharu bagi memimpin persatuan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Wan Abdul Rahim dan timbalannya Datuk Seri Afandi Hamzah ‘direhatkan’ buat sementara waktu daripada menguruskan persatuan itu yang tenat dengan pelbagai isu terutamanya hutang dan kewangan.

Husin berkata buat sementara waktu pihaknya masih belum memikirkan untuk mengadakan pemilihan presiden baharu bagi mengisi kekosongan itu.

Beliau berkata Kafa yakin pemangku presidennya, Datuk Shaari Mat Husin mampu untuk menangani permasalahan dan kemelut yang dihadapi persatuan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Keyakinan itu berdasaran prestasi dan gerak kerja yang dilakukan oleh Shaari ketika ini apabila diberikan tanggungjawab untuk memimpin Kafa sebagai pemangku presiden dan timbalan presiden,” katanya.

Katanya, buat masa ini Afandi masih lagi timbalan presiden namun direhatkan dari menguruskan persatuan itu.

“Kami (Kafa) berterima kasih kepada Wan Rahim sepanjang memberikan khidmat bersama persatuan walaupun setahun,” katanya.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link