[ad_1]

KEBAJIKAN haiwan peliharaan terabai akibat sekatan dan kuarantin yang dihadapi manusia di Wuhan, China.

Pelbagai larangan masih dikenakan terhadap warga China yang tinggal di wilayah Hubei sejak virus korona baharu muncul dan menyebabkan lebih 2,900 kematian akibat penyakit selsema yang kini satu dunia kenali dengan nama COVID-19.

Perjalanan kehidupan masih tergendala kerana perintah kuarantin belum lagi batal walaupun kadar kematian harian semakin menguncup.

Kini masuk bulan ketiga wabak COVID-19 masih menular di China dan timbul isu kebajikan melibatkan binatang peliharaan seperti anjing dan kucing.

Laporan dari badan kebajikan haiwan persendirian membuat jangkaan terdapat hampir 30,000 haiwan – anjing dan kucing peliharaan – yang kini, jika masih hidup, terabai di seluruh wilayah Hubei sejak perintah kuarantin berkuat kuasa.

Kini, wujud usaha sukarela beberapa individu penduduk Wuhan yang menjaga kebajikan haiwan peliharaan seberapa banyak yang termampu.

Mereka menggunakan perhubungan melalui media sosial dan menerima maklumat dan arahan dari tuan punya haiwan yang masih belum dapat kebenaran pulang ke Wuhan.

Pembantu sukarela ini diberi maklumat seperti kod akses pintu masuk ke rumah untuk memulakan tugas.

Bantuan pemerliharaan kucing agak mudah kerana hanya melibatkan membersihkan petak najis, pengisian semula bahan makanan kering dan air minuman.

Kebajikan anjing sedikit rumit kerana sebagai binatang peliharaan, perlu dibawa keluar rumah berjalan untuk tujuan kesihatan dan kecergasan.

Pada pertengahan bulan Februari, kenyataan pakar penyakit berjangkit Dr Li Lanjuan tentang kaitan virus korona dengan binatang peliharaan disalah tafsir pelbagai pihak.

Dr Li mengesyorkan supaya binatang peliharaan yang tinggal bersama penghidap COVID-19 wajar turut dikuarantin.

Kenyataan ini sebaliknya disambut secara ekstrem oleh sesetengah pemilik anjing dan kucing yang bertindak membuang binatang peliharaan mereka.

Lebih teruk, ada pemilik haiwan yang mencampak kucing peliharaan mereka dari unit kondominium hingga menyebabkan banyak bangkai kucing bergelimpangan.

Keadaan bertambah teruk apabila media sosial menjadi laman penyebaran kononnya binatang peliharaan menjadi punca jangkitan, walaupun dengan tegas dinafi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Pada Sabtu, seekor anjing peliharaan dikuarantin di Hong Kong setelah didapati positif – pada tahap lemah; jangkitan COVID-19. Tuan punya haiwan itu merupakan seorang pesakit COVID-19.

Namun setakat ini tiada terdapat sebarang bukti virus korona baharu ini mampu berjangkit dari manusia kepada haiwan.



[ad_2]
Source link