KUALA NERUS: Usaha pemuliharaan haiwan purba, penyu yang juga ikon negeri ini sentiasa diberi perhatian dan keutamaan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Sebagai bukti UMT telah menyediakan geran penyelidikan sebanyak RM500,000 bagi tempoh dua tahun bermula tahun hadapan, untuk menggalak serta merancakkan lagi usaha konservasi penyu di negeri ini.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata geran tersebut dianugerahkan kepada Ketua Stesen Penyelidikan Penyu Laut (Seatru), yang diketuai Dr Muhd Uzair Rusli yang juga Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi dan Persekitaran (INOS), UMT.

“Spesis ini tidak mungkin akan wujud lagi jika penyelidik tidak melakukan sesuatu bagi melindunginya.

“Kita tidak mahu berlaku lagi sejarah seperti penyu belimbing yang mana kita gagal menyelamatkannya kerana pergerakan penyelidikan sains berkaitan yang lambat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis santapan petang sempena majlis konvokesyen UMT ke-17 di sini, pada Jumaat.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis santapan berkenaan dengan diiringi oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zahari Azhar.

Pada majlis tersebut, Sultanah Nur Zahirah turut berkenan melancarkan penerbitan buku Petala 7 Sasterawan Negara, yang dikeluarkan oleh Penerbit UMT.

Nor Aieni berkata buku tersebut menghimpunkan 132 puisi hasil nukilan Allahyarham Datuk Dr Usman Awang, Datuk Seri A Samad Said, Prof Emeritus Muhammad Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah (Kemala), Datuk Baharuddin Zaina (Baha Zain) dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Menurut Nor Aieni buku tersebut akan dicetak dalam dua versi iaitu buku mewah dan bersaiz poket, yang boleh dibeli secara atas talian melalui penerbit UMT.

“Penerbitan buku Petala 7 Sasterawan Negara adalah langkah proaktif UMT, demi menyahut seruan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik supaya masyarakat universiti menghargai sasterawan negara.

“Buku ini akan diterjemahkan ke bahasa lain seperti Inggeris, German, Perancis dan Jepun, sebagai usaha memartabatkannya ke peringkat antarabangsa,” katanya yang akan turut menerbitkan buku itu dalam bentuk digital.

— BERNAMA





Source link