PONTIAN: Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin calon Pakatan Harapan yang bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Piai mampu untuk meneruskan mampu meneruskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik.

Karmaine Sardini yang juga merupakan Ketua Bahagian Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) juga disifatkan sebagai individu yang sudah memahami hati penduduk di Tanjung Piai. 

“Selain memahami hati penduduk, Karmaine merupakan calon yang paling baik untuk meneruskan pembangunan dan memastikan kesinambungan kemajuan Tanjung Piai.

“Beliau pasti mampu meneruskan rancangan pembangunan serta mengagih peruntukan-peruntukan untuk Parlimen ini yang telah berjaya didapatkan dahulu oleh Allahyarham Dr Md Farid,” katanya.

Sementara itu Tun Dr Mahathir turut berkongsi cabaran yang didepani oleh Pakatan Harapan yang telah masuk usia 18 bulan bagi pentadbiran kerajaan.

“Dalam tempoh ini kita telah melalui satu tempoh sukar untuk mengembalikan negara ke atas landasan yang betul dan memperbaiki kerosakan-kerosakan lalu yang begitu teruk,” katanya.

Tun Dr Mahathir turut menegaskan agar perbuatan itu tidak akan diulangi dan memastikan ia tidak melibatkan kepimpinan ahli Pakatan Harapan.

Selain itu kerajaan juga sedang berusaha dengan beberapa perancangan termasuk usaha ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama bagi mengurangkan jurang pendapatan antara kaum.

Bagaimanapun jelas Tun Dr Mahathir terdapat usaha pihak-pihak tertentu untuk mencetuskan kontroversi antara kaum. 

“Apabila mereka jumpa orang bukan Melayu mereka hasut bahawa pemimpin bukan Melayu dalam Kerajaan telah hilang perjuangan mereka kerana menjaga kedudukan.

“Akibatnya, orang Melayu merasa masa depan mereka tidak terjamin dengan kerajaan ini,” ujar beliau.

Justeru, Tun Dr Mahathir berharap agar pengundi dapat melakukan penilaian yang baik agar dapat merasai kesannya pada masa akan datang meskipun ia datang secara beransur-ansur.





Source link