[ad_1]

ALOR SETAR: Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan tiada jawatan kosong dalam Kabinet kerajaan Pakatan Harapan untuk diisi oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah bersifat berseloroh.

Menurut Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kenyataan itu juga tidak membawa apa-apa isyarat atau sebarang maksud tersirat berhubung rombakan Kabinet yang mungkin berlaku.

Beliau berkata, tidak mustahil kenyataan yang dikeluarkan Dr Mahathir itu boleh disalah erti pihak-pihak tertentu sehingga menjadi isu sensasi ketika ini.

“Itu secara berseloroh dia jawab macam itu, jadi  (maksudnya) tak adalah peluang (Anwar) itu (jawatan kosong Kabinet) ketika ini.

“Saya rasa mungkin ianya boleh disalah erti kenyataan itu, tapi saya berada di situ waktu dia (Dr Mahathir) bercakap dan saya nampak dia secara berseloroh dia jawab, mungkin menteri lain akan beri laluan dekat Datuk Seri Anwar? … itu tak pasti,” kata Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah.

Mukhriz berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Dashboard Sistem Maklumat Eksekutif (E-I-S) kutipan hasil tanah di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah, di sini pada Isnin.

Baru-baru ini, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu menegaskan, isu berkenaan rombakan Kabinet tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

“Tiada sesiapa yang mahu meletakkan jawatan dan kami tiada kekosongan. Jika ada kekosongan, kami akan fikirkan calon-calon yang sesuai,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada Khamis.



[ad_2]
Source link