Tukang kebun amuk dengan parang di balai polis, ditahan 1

JOHOR BAHRU: Seorang tukang kebun ditahan polis selepas mengamuk dan bertindak agresif di perkarangan Balai Polis Bukit Indah di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian pukul 3.25 petang itu, suspek berusia 52 tahun datang ke balai polis dalam keadaan mabuk dan mengamuk serta meronta-ronta dengan membawa sebilah parang panjang yang dipegang di tangan kanan.

Dzulkhairi berkata, ketika kejadian, suspek memberitahu, mengalami masalah dengan isterinya dan mengugut untuk membunuh wanita itu.

“Pegawai polis yang sedang bertugas ketika itu cuba untuk menenangkan suspek namun suspek bertindak agresif dengan meletakkan parang di lehernya sendiri.

“Berikutan itu, pegawai polis dibantu beberapa anggota polis lain bertindak menangkap suspek selain turut merampas sebilah parang panjang berukuran 78 sentimeter berhulu warna merah jambu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, pihak polis terpaksa menggunakan sedikit kekerasan ketika menangkap suspek kerana suspek bertindak agresif dan enggan bekerjasama dengan pihak polis dan hasil pemeriksaan pada tubuh badan suspek terdapat sedikit kecederaan pada beberapa bahagian badannya termasuk luka di bahagian dahi, lutut kiri dan kanan.

“Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun ujian air kencing akan dilakukan terhadap lelaki berkenaan dan perintah reman akan dimohon hari ini,” kata beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958 dan Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis. – BERNAMA





Source link