RAUB: Tujuh pelatih Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Sungai Ruan, Raub sedang diburu selepas hilang melarikan diri daripada pusat terbabit awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi dan kesemua pelatih dipercayai telah melarikan diri melalui tingkap tandas asrama pusat terbabit.

Menurutnya, kesemua mereka telah keluar melalui pagar belakang pusat itu dan dipercayai menuju ke arah Taman Dahlia, Sungai Ruan.

“Tujuh pelatih terbabit itu ialah Tan Sian Soon, 44; Johari Mahamad, 50; Mohd Yunus Abu Bakar, 44; P. Suris, 39; Ng Swee An, 47; Azreen Kusai, 36; dan Ooi Chuan Tat, 42.

“Seramai tiga pegawai dan 13 anggota polis daerah ini dibantu 40 pegawai dan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaaan (AADK) dan juga CCRC Sungai Ruan telah dan sedang membuat langkah pengesanan ke atas semua pelatih sekitar Raub,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kesemua pelatih dipercayai menggunakan baju warna oren ketika melarikan diri walaupun hasil semakan dengan pihak Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) terbabit, setiap pelatih dibekalkan sehelai baju T putih dan sepasang baju Melayu.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kesemua pelatih ini dimohon agar menyalurkan segera kepada pihak polis dengan menghubungi talian 09-355 2223/355 1192 atau ke balai berhampiran masing-masing.





Source link