KUALA LUMPUR: Tuduhan Datuk Ahmad Husni Hanadzlah bahawa beliau diperlakukan sekadar ‘office boy’ adalah satu komedi memandangkan tandatangannya sebagai Menteri Kewangan II di beberapa dokumen berkaitan SRC menunjukkan sebaliknya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan, Husni juga turut hadir dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8.2.2012 di mana Jaminan Kerajaan Kedua diluluskan dan tidak membangkitkan apa-apa isu.

“Kalau sebenarnya Ahmad Husni merasakan dirinya dilayani sebagai sebagai seorang “office boy” tentulah menjadi keanehan untuk beliau berkehendakkan dirinya kekal di Kementerian Kewangan.

“Ini menunjukkan satu contradiction dengan apa yang beliau nyatakan di kandang saksi dengan apa yang dilalui beliau sebenarnya,” katanya dalam keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu.

BACA: Kes SRC: Husni akui tipu media berhubung alasan peletakan jawatan untuk lindungi Najib

Ahmad Husni sebelum ini mendakwa hanya menjadi ‘budak pejabat’ selepas diminta tidak terbabit dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang merangkumi SRC International Sdn Bhd (SRC).

Jelas Najib, keterangan Ahmad Husni berniat untuk memburukkan dan berunsur dendam akibat ketidakpuasan kerana dipindahkan dari Kementerian Kewangan ke Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Ahmad Husni segera meletakkan jawatan selepas dipindahkan dan menggunakan kandang saksi sebagai pentas untuk menyuarakan keluhan beliau secara terbuka.

“Terdapat kejadian lain yang mana saya tidak bercadang untuk dedahkan. Beliau jelas salah sangka dengan tindakan saya menyebabkan dendam kesumat mendalam terhadap saya,” ujarnya.

BACA: Jho Low urus derma bagi pihak keluarga Diraja Arab Saudi – Najib





Source link