KUANTAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang menjalankan penilaian terhadap pesawat rondaan maritim (MPA) dan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) setelah diberi kelulusan peruntukan oleh pihak kerajaan.

Namun, penilaian akan dilakukan terhadap kedua-dua jenis pesawat itu dalam masa tiga tahun ini, sebelum TUDM melakukan pembelian serta perolehan terhadap aset-aset berkenaan.

Menurut Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, pembelian itu dilakukan bagi mempertingkatkan keupayaan pasukan pada masa hadapan kerana kedua-dua jenis pesawat itu amat diperlukan bagi melaksanakan tugasan rondaan perairan negara terutama bagi operasi pemantauan di Laut China Selatan.

“Dari segi kebiasaannya, (tentang) pembelian aset-aset ini, dalam peringkat kerajaan kata ‘go ahead and do the evaluation’, biasanya akan mengambil masa lebih kurang tiga tahun. Ini disebabkan apabila kita membuat satu penilaian dan kita telah bersetuju untuk membeli jenis dan beberapa buah pesawat tersebut, dan proses untuk mereka mula membina pesawat ataupun aset platform tersebut akan dimulakan,

“Maka itu yang kita jangkakan, tapi yang pentingnya adalah kerajaan telahpun memberi kita kelulusan untuk menjalankan penilaian,” ujar beliau.

Tambah Affendi, TUDM turut menggariskan keperluan dan pengoperasian kedua-dua jenis pesawat tersebut secara bergandingan dalam memantau serta mengawai kawasan perairan negara dengan lebih efektif.

Ia juga sejajar dengan keutamaan TUDM dalam membangunkan pengetahuan teknikal dan penggunaan teknologi peperangan udara terkini TUDM standing dengan negara-negara lain.

“Buat masa ini, pesawat pejuang kita mampu untuk membuat tugas-tugas yang diamanahkan tetapi teknologi baru ini… kita perlukan platform tersebut untuk kita membuat pengawasan ataupun tinjauan dekat kawasan maritim lebih-lebih lagi di Laut China Selatan,” ujar Affendi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Hari Terbuka Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan.

Hari Terbuka yang dianjurkan bersempena Ulang Tahun ahun TUDM ke-61 itu, diserikan dengan kunjungan lebih 15,000 pengunjung setakat tengah hari Sabtu, sebelum bersambung untuk sesi petang.

Pengunjung disajikan dengan pelbagai pertunjukan udara dengan pelbagai jenis pesawat yang digunakan serta persembahan daripada Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU).





Source link