[ad_1]

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meluluskan sekatan dan larangan perjalanan terhadap petugas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICC).

Tindakan itu dilaksanakan ke atas petugas yang terlibat secara langsung dengan siasatan kes jenayah perang tentera AS di Afghanistan.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata arahan eksekutif itu membolehkan Setiausaha Negara dengan nasihat Setiausaha Perbendaharaan menyekat aset kewangan petugas ICC dalam wilayah AS.

Mereka juga tidak dibenarkan memasuki  AS.

“ICC tidak boleh menahan warga AS dan mendakwa mereka. AS bukan sebahagian anggota Statut Rom yang menubuhkan ICC.

“Sekiranya pendakwaan mahu diteruskan, ia umpama satu penipuan. Tidak wujud keperluan untuk disabitkan kesalahan.

“Pendakwaan tidak boleh bergantung kepada kenyataan tanpa bukti untuk mensabit kesalahan. Tiada jaminan perbicaraan akan dipercepatkan.

“Ia berbeza, daripada berdepan sekumpulan juri, sebaliknya berdepan panel hakim yang tidak mempunyai kebertanggungjawaban terhadap AS,” katanya.

ICC yang berpangkalan di The Hague ditubuhkan pada 2002 untuk mendakwa kes jenayah perang dan kemanusiaan serta jenayah pembersihan etnik.

Arahan eksekutif yang ditandatangani ini menunjukkan serangan terbaharu Trump terhadap organisasi, perjanjian mahupun individu yang tidak mempunyai polisi selari dengannya.

Sejak mentadbir White House, Trump membatalkan penyertaan AS dalam Perjanjian Iklim Paris, Perjanjian Nuklear Iran dan dua perjanjian kawalan senjata dengan Rusia.

Trump turut menarik diri daripada Majlis Hak Asasi PBB.



[ad_2]
Source link