[ad_1]

BAGAN SERAI: Treler yang membawa bahan kimia mudah terbakar yang terbalik ke dalam parit di Kampung Parit Mentara 3 di sini pada Rabu, akhirnya berjaya dinaikkan pada Jumaat malam.

Ia berjaya dinaikkan kira-kira jam 10 malam selepas kerosakan pada satu daripada dua kren berjaya dibaiki.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, kren berkenaan mengalami masalah elektrikal akibat disambar kilat ketika hujan kira-kira jam 3.30 petang.

“Alhamdulillah… tangki telah pun dinaikkan dari tali air pada jam 10 malam,” katanya.

Menurutnya, walaupun tiada bacaan bahan berbahaya direkodkan di kawasan berkenaan, penduduk yang dinasihatkan berpindah masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Penduduk tidak dibenarkan lagi untuk pulang ke rumah kerana  pergerakan kren dan petugas akan menjejaskan aktiviti harian mereka,” ujarnya.

Sementara itu, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 24 orang daripada lima keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Surau Al-Rahman di kampung berkenaan.

Mereka terdiri daripada sembilan lelaki dewasa dan lapan wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan serta seorang bayi perempuan.

Pusat pemindahan sementara itu dibuka pada Khamis di mana sebelum ini mangsa berpindah ke rumah jiran atau saudara terdekat.



[ad_2]
Source link