[ad_1]

WELINGTON: Angka kematian akibat letusan gunung berapi di White Island, New Zealand pada bulan lalu meningkat kepada 18 orang selepas seorang mangsa yang cedera dan dirawat di sebuah hospital di Australia, meninggal dunia.

Reuters yang memetik kenyataan pihak berkuasa melaporkan, dua lagi mangsa yang tidak ditemui, dianggap sudah terkorban.

“Polis boleh mengesahkan bahawa seorang mangsa telah meninggal dunia di sebuah hospital Australia selepas menderita akibat kecederaan yang dialaminya,” ujar Pesuruhjaya Polis New Zealand, John Tims pada Isnin.

Polis bagaimanapun tidak memberikan perincian tentang identiti atau warganegara mangsa itu. Kebanyakan daripada mangsa yang didedahkan identiti mereka sebelum ini merupakan rakyat Australia, atau yang bertaraf penduduk tetap.

Dua lagi yang masih belum ditemui sejak insiden itu dianggap sudah terkorban. New Zealand juga telah memperkecilkan skala operasi pencarian di pulau gunung berapi yang bernama Whakaari dalam bahasa tempatan itu, selain mengeluarkan kenyataan bahawa mayat kedua-dua mangsa tidak akan dapat dijumpai.

Sewaktu insiden letusan pada 9 Disember lalu, terdapat 47 orang yang kebanyakannya pelancong, sedang berada di atas White Island ataupun berdekatan lokasi itu.

Mangsa lain yang masih hidup kini masih menerima rawatan di hospital di New Zealand dan Australia akibat kecederaan lecur teruk yang dialami.

Perdana Menteri Jacinda Ardern berkata, siasatan penuh terhadap insiden itu akan mengambil masa selama setahun.



[ad_2]
Source link