[ad_1]

SEPANG: Tourism Malaysia akan melakukan kempen intensif menarik kehadiran pelancong sekurang-kurangnya di empat buah negara, sepanjang bulan pertama Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Ketua Pengarahnya Datuk Musa Yusof berkata program berupa pertemuan bersama pemain industri pelancongan, pameran serta forum itu bermula dengan India, sebagai destinasi pertama pada 8 Jan nanti.

“Selain China, India juga merupakan antara negara yang mempunyai potensi besar menyumbang kepada kehadiran pelancong ke Malaysia.

“Sebab itu, program promosi kita di peringkat global selepas TMM2020 dilancarkan, dimulakan dengan kempen bertemu pemain industri pelancongan di India,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program menyambut ketibaan pelancong pada hari pertama TMM2020 hari ini.

Program itu menyaksikan 294 pelancong yang tiba menerusi penerbangan Etihad Airways dari Abu Dhabi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), diraikan dengan kalungan istimewa bermotifkan VM2020, disempurnakan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Sempena VM2020, Tourism Malaysia mensasarkan kedatangan pelancong dari India meningkat sebanyak tujuh peratus, daripada jumlah 539,167 orang yang direkodkan dalam tempoh Januari hingga September tahun lepas.

Sasaran itu juga dibuat seiring dengan langkah pengecualian visa selama setahun, untuk pelancong dari India dan China yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, yang menyaksikan tempoh lawatan terhad kepada 15 hari, tanpa sebarang lanjutan.

Musa berkata program di India itu akan disusuli dengan Forum Pelancongan Asean di Brunei, diikuti program pameran di Sepanyol dan Finland sebelum hujung bulan ini.

Beliau berkata selain program di peringkat antarabangsa, Tourism Malaysia juga telah menyusun puluhan program di peringkat domestik, sebagai tambahan kepada kempen menarik pelancong sepanjang TMM2020.

Dengan tema ‘Visit Truly Asia Malaysia 2020’, TMM2020 merupakan kempen kelima Tahun Melawat Malaysia, sejak kempen pertama yang diadakan pada 1990, di mana kerajaan menerusi Belanjawan 2020 mengumumkan peruntukan RM90 juta, khas untuk meningkatkan kesedaran, promosi dan program sempena kempen berkenaan.

Sementara itu, juruterbang yang mengemudi pesawat Etihad Airways Kapten Noor Azam Mohd Surol, 51, berkata peluang menerbangkan kumpulan pertama pelancong antarabangsa ke Malaysia sempena TMM2020, merupakan sumbangan kecil beliau dalam membantu industri pelancongan negara.

Katanya perkara itu berlaku secara tidak sengaja dan sebagai anak Malaysia, beliau bangga apabila penumpang pesawat yang dikendalikannya dipilih, untuk diraikan sendiri Menteri Pelancongan Seni dan Budaya sebagai simbolik permulaan kempen TMM2020.

“Saya tidak sangka sambutan sebegini besar dibuat, dan sebagai anak Malaysia saya amat bangga dan bertekad untuk membantu mempromosikan negara di mana sahaja persinggahan kami, selepas ini,” kata bapa kepada seorang anak berasal daripada Seremban, Negeri Sembilan, yang telah berkhidmat selama 14 tahun dengan syarikat penerbangan tersebut.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link