[ad_1]

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengesahkan berdasarkan maklumat yang disampaikan kepadanya, bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bersetuju secara prinsip untuk menerima representasi daripada anak Datin Seri Rosmah Mansor, Riza Shahriz Abdul Aziz.

Beliau berkata, persetujuan menerima tawaran Riza adalah selepas mendapat taklimat daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang mengendalikan kes berkenaan.

Dalam satu kenyataan media yang diedarkan, Idrus turut menjelaskan kronologi surat perhubungan antara Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Cara Riza  sebelum pelantikannya sebagai Peguam Negara.

Kronologi kes Riza Aziz

Pada 18 November 2019, Peguam Cara Riza melalui Tetuan Scivetti & Associates telah menghantar satu surat representasi ke Jabatan ini memohon agar semua pertuduhan terhadap Riza di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dikaji semula.

Surat representasi ini telah mencadangkan agar Riza menyerahkan haknya ke atas tiga hartanah yang telah disita oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan Riza perlu memberi kerjasama untuk mengembalikan harta-harta tersebut atau nilainya kepada kerajaan Malaysia.

Antara hartanah tersebut ialah satu unit banglo di Beverly Hills, California; satu unit pangsapuri di New York dan satu unit rumah bandar di London, United Kingdom.

Selain itu, tertuduh perlu bersetuju agar wang yang dirampas daripadanya yang menjadi hal perkara dalam satu kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia dan membayar sejumlah kompaun selaras dengan peruntukan seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pendirian Tommy Thomas

Jelas Idrus, beliau telah dinasihatkan bahawa mantan Peguam Negara, Tommy setelah meneliti surat representasi itu melalui satu minit bertarikh 19 November 2019 memohon pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram dan turut menyatakan berdasarkan cadangan yang dinyatakan di atas, beliau bersedia untuk memberi pertimbangan kepada representasi tersebut.

“Saya selanjutnya telah dinasihatkan bahawa Gopal setelah berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya, telah mencadangkan agar cadangan yang dinyatakan di dalam representasi tersebut diterima oleh SPRM.

“Saya juga telah dinasihatkan bahawa Tan Sri Tommy Thomas telah secara prinsip bersetuju dengan cadangan tersebut dan ini telah membuka jalan kepada rundingan lanjut dan perancangan mekanisme yang perlu diambil serta diadakan,” jelas Idrus lagi.

Tommy Thomas secara prinsip dikatakan bersetuju untuk menerima representasi daripada Riza Aziz. - Gambar fail

Lagi surat representasi dan keputusan representasi Riza Aziz

Pada 11 Mac 2020, pihak Peguam Cara Riza menghantar satu lagi surat representasi mengukuhkan cadangan dikemukakan sebelum ini dan memberi aku janji jika anak guamnya gagal mematuhi terma dan syarat yang dinyatakan, kelima-lima pertuduhan pengubahan wang haram dikenakan ke atasnya dikekalkan.

Tambah Idrus, perkara ini dibentangkan kepadanya setelah dimaklumkan tentang pendirian terdahulu Tommy.

“Setelah ditaklimatkan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, saya sependapat dengan pandangan mantan Peguam Negara dan bersetuju menerima tawaran Riza Aziz tertakluk kepada pematuhan yang ketat terhadap semua terma dan syarat.

Perjalanan kes seterusnya

Pada 16 April 2020, SPRM membalas surat Peguam Cara Riza menyatakan Pendakwa Raya bersedia memohon satu perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) ke atas kelima-lima pertuduhan tertakluk kepada Riza dengan mengambil langkah-langkah memastikan semua wang dan harta disita dikembalikan kepada kerajaan Malaysia dan membayar kompaun selaras dengan seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Anti-Pembiayaan Keganasan 2001.

Pada 21 April 2020, pihak SPRM menulis kepada Peguam Cara mengarahkan Riza melepaskan hak milik dan kepentingannya ke atas satu lagi aset “Metropolis Poster” yang merupakan sebuah poster 3-helai berwarna litograf berbingkai ciptaan pelukis dari Jerman bernama Heinz Schulz-Neudamm untuk filem bertajuk “Metropolis” yang telah diterbitkan pada tahun 1927.

Pada 13 Mei 2020, pihak SPRM sekali lagi telah menulis kepada pihak Peguam Cara mengarahkan Riza untuk turut memindahkan sejumlah AS$14,087,072.76 yang berada di dalam satu akaun escrow di Huntington National Bank di Amerika Syarikat kepada kerajaan Malaysia.

Penerimaan semula aset rampasan

Dengan perkiraan ini, kerajaan Malaysia dijangka menerima kembali sejumlah kira-kira AS$108 juta dikreditkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset 1MDB.

Ini adalah tambahan kepada AS$57,036,688.68 yang telah dilucuthak sebelum ini dalam bulan April 2019 daripada Red Granite Pictures, sebuah syarikat yang dimiliki bersama oleh Riza, yang mana dana tersebut dapat dikesan berkaitan dengan 1MDB.

Riza Aziz (kiri) mengasaskan syarikat Red Granite Pictures yang pernah menerbitkan filem The Wolf of Wall Street arahan pengarah tersohor dunia, Martin Scorsese. Filem itu dibintangi oleh pelakon ternama Hollywood, Leonardo DiCaprio. - Gambar fail

Kata Idrus, perkiraan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam mendapatkan kembali aset-aset berkaitan dengan 1MDB.

“Saya dimaklumkan rundingan dengan beberapa pihak dalam tahun-tahun lepas, berkaitan dengan aset yang berada di luar negara telah dengan jayanya mendapatkan kembali serta pemulangan wang-wang yang meringankan beban Kerajaan membayar hutang 1MDB.

“Rundingan tersebut adalah amat rumit, memerlukan kerjasama erat dengan pihak berkuasa di luar negara, dan masih berterusan.,” jelas beliau.

Isu yang timbul antara SPRM dan Tommy Thomas

Kemelut isu Riza berlaku selepas SPRM pada 14 Mei lalu mendakwa keputusan memohon agar Riza dilepaskan tanpa dibebaskan mendapat persetujuan daripada Tommy.

Mantan Peguam Negara itu bagaimanapun, menafikan dakwaan tersebut dan membidas SPRM dengan menyatakan ia adalah satu penipuan.

BACA: Tommy Thomas nafi terlibat persetujuan lepas tanpa bebas Riza Aziz

SPRM melalui Ketua Pesuruhjayanya yang baharu, Datuk Seri Azam Baki kemudian mempertahankan kenyataan dan pendirian agensi anti rasuah itu.

Riza merupakan anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.25 bilion) membabitkan dana 1MDB.

BACA: Riza Aziz dilepas, Malaysia dijangka terima semula RM465.3 juta – SPRM



[ad_2]
Source link