DEWAN Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mengundi 407-1 bagi meluluskan rang undang undang yang mengenakan sekatan khusus terhadap anggota kerajaan China.

Setiausaha Parti Komunis badan pentadbir wilayah autonomi Xinjiang, Chen Quanguo, mengetuai senarai individu yang dinamakan khusus untuk dikenakan tindakan.

Rang undang undang yang bernama Akta Uighur ini perlu melalui proses seterusnya melibatkan pembentangan, bahas dan kelulusan di dewan Senat.

Jika diluluskan, ia akan diserahkan pula kepada Presiden Donald Trump untuk menjadi undang undang.

Perkembangan ini sudah tentu akan menambah lagi ketegangan hubungan dua hala China-Amerika, beberapa hari selepas Trump menandatangani undang undang yang disifatkan sebagai memihak kepada perusuh pro-demokrasi Hong Kong.

Tindakan Trump itu menerima kutukan China dan undi Dewan perwakilan ini disifatkan negara komunis itu sebagai campur tangan asing terhadap isu Xinjiang yang dianggap hal dalaman.

Akta Uighur dibentang di Kongres AS sebagai tindak balas terhadap usaha pelbagai pihak menarik perhatian dunia ke atas penindasan yang berterusan dikenakan China terhadap warga Islam kalangan etnik Uighur di Wilayah Xinjiang.

Ini termasuk pengurungan dan penahanan sehingga satu juta kaum etnik itu yang dipaksa melalui proses `rehabilitasi minda’ (brainwashing) melalui deraan fizikal dan mental.

Kaum etnik Uighur itu ditempatkan secara paksa dalam kem yang didedahkan badan bukan kerajaan (NGO) dan media antarabangsa melalui imej yang disokong intipan satelit.

Sedikit demi sedikit, kerajaan China terpaksa mengaku kewujudan kem tahanan tersebut.

Namun, China berkeras kem tersebut yang terletak di wilayah barat Xinjiang sebagai pusat pendidikan dan latihan sukarela.

Ekoran tindakan Trump `menyokong’ perusuh pro-demokrasi, China menggantung kebenaran belayar dan singgah bagi armada tentera laut Amerika ke Hong Kong.





Source link