[ad_1]

GOMBAK: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan enggan mencampuri urusan pihak berkuasa berhubung tindakan terhadap bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Rashid.

Sebaliknya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu memaklumkan beliau kini mahu menumpukan kepada tugas yang dipertanggungjawabkan, terutama sekali dalam membantu mempersiapkan negara sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

“Saya tidak boleh campur urusan pihak berkuasa, saya di sini hanya untuk meluahkan rasa syukur atas pengumuman Peguam Negara kerana saya yakin akhirnya kebenaran akan muncul.

“Kontroversi video intim itu merupakan satu percaturan politik yang kejam, namun saya yakin dengan proses yang dijalankan.

“Kini saya boleh menumpukan kepada perancangan tahun 2020. Malaysia akan jadi tuan rumah APEC pada hujung tahun nanti, jadi semua pihak sedang bertungkus lumus membuat persiapan terbaik, ” kata Azmin yang ditemui media selepas Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, pada Sabtu.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyertai Azmin dan kira-kira 300 penduduk menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah.

Azmin dilihat mengesat air matanya selepas jemaah selesai solat Maghrib, ketika Imam Besar Masjid Negeri Selangor, Muhammad Farhan Wijaya berucap dan menyatakan timbalan presiden PKR itu sebagai mangsa fitnah.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara berkata, tidak akan membuat apa-apa pertuduhan pada mana-mana pihak berhubung video intim yang dipercayai yang pernah dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet seperti yang tular beberapa bulan lalu.



[ad_2]
Source link