[ad_1]

DUNGUN: Sebuah bot pelancong yang membawa tiga pekerja sebuah resort dikhuatiri hilang di Perairan Pulau Tenggol, di sini, pada Rabu.

Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan menuju ke pulau tersebut untuk mengambil pelancong yang menginap di Tenggol Island Resort itu.

Mereka yang hilang dikenal pasti sebagai Mohd Hafiz Abdul Rahim, 22 tahun, Mohammad Firdaus Mohd Awalludin, 25 tahun, dan Fauzi Mohammad, 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata, ketiga-tiga pekerja terbabit berlepas dari sebuah jeti di Kampung Seberang Pintasan pada jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, perjalanan dari jeti ke pulau dianggarkan mengambil masa selama hampir satu jam.

Namun sehingga jam 3.00 petang, pihak pengurusan resort mendapati kesemua mangsa tidak tiba di pulau itu dan usaha menghubungi mereka dengan menggunakan radio turut gagal.

Tiga pekerja resort di Pulau Tenggol yang hilang dalam kejadian pada Rabu, dari kiri, Mohamad Hafiz, Mohammad Firdaus dan Fauzi. - Astro AWANI

Jelasnya, pihaknya menerima laporan berkenaan insiden tersebut pada jam 4.03 petang dan pusat kawalan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun telah diaktifkan bagi memantau perkembangan mangsa.

Pihaknya turut memaklumkan kepada agensi lain, termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan bomba, tambahnya.

Katanya, pencarian akan dilakukan pada pagi Khamis di sekitar perairan Pulau Tenggol.



[ad_2]
Source link