SEREMBAN: Tiga maut dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan, termasuk dua motosikal, di KM269.9, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dari Bandar Ainsdale ke Nilai sebelum Hentian Rehat dan Rawat Seremban, Isnin malam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan Supt Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, melibatkan dua buah lori termasuk, sebuah lori membawa tong gas dan dua buah motosikal.

“Setakat ini tiga dilaporkan maut, termasuk dua penunggang dan pembonceng motosikal, dan pemandu lori tong gas. Butiran mangsa yang maut sedang diperoleh.

“Kemalangan turut mengakibatkan tong gas yang dibawa lori berkenaan bertaburan di atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyatan di sini.

Sementara itu, Plusline menerusi laman Twitternya melaporkan sehingga pukul 10.38 malam Isnin, kesemua lorong masih terhalang.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh empat kilometer dari lokasi kejadian.

Plusline turut meminta orang ramai menggunakan laluan altenatif keluar di Plaza Tol Bandar Ainsdale.

— BERNAMA





Source link