SEJARAH telah membuktikan bahawa kedudukan orang Islam di India sememangnya seringkali berhadapan dengan cabaran-cabaran besar. Cabaran ini banyak sekali menguji kesabaran dan kedudukan mereka sebagai warganegara minoriti di bawah kuasa majoriti Hindu. Ketika zaman pentadbiran Kongres Kebangsaan India, kalangan orang Islam merupakan penyokong kuat parti tersebut. Namun setelah zaman pemerintahan dipegang oleh Bhatariya Janata Party (BJP) dan kalangan parti-parti Hindu, maka keadaan orang Islam semakin tertekan. Ini dibuktikan dengan peristiwa mengenai Masjid Babri mahupun insiden di Bombay beberapa tahun lalu, yang ironinya melibatkan Narenda Modi.

Walau bagaimanapun, tekanan dan cabaran orang Islam di India semakin besar pada tahun 2019 apabila berlaku tiga kontroversi mengenai pindaan undang-undang kewarganegaraan yang dilakukan oleh pihak pemerintah India secara berturut-turut. Jika sebelum ini pemerintah India yang diterajui oleh Perdana Menteri meluluskan undang-undang menghapuskan autonomi wilayah majoriti Islam di Kashmir. Pembatalan artikel 370 dalam Perlembagaan India yang memansuhkan hak istimewa Kashmir yang dilihat oleh kalangan penganalisa sebagai satu usaha untuk menguatkan ketuanan nasionalis Hindu terhadap majoriti orang Islam di Kashmir. Malah terdapat kemungkinan warga Kashmir akan menghadapi masalah menjadi pendatang di tanah asal mereka apabila India mentakrifkan kewarganegaraan negara itu hanya sah jika selaras dengan kehendak pemerintah yang memerintah berdasarkan nasionalisme Hindu. Tindakan ini dianggap sebagai kontroversi pertama yang dibangkitkan oleh pemerintah India di bawah Perdana Menteri, Narenda Modi terhadap masyarakat Islam.

Kontroversi kedua dihadapi oleh orang Islam di Assam. Perkembangan ini mempunyai kaitan dengan tindakan kerajaan India melakukan pendaftaran kewarganegaraan baharu di Assam. Deraf pendaftaran kewarganegaraan baharu ini menyatakan bahawa hanya penduduk yang mempunyai dokumen bagi membuktikan bahawa keturunan mereka tinggal di Assam sebelum tahun 1971 sahaja layak mendapatkan taraf kerakyatan. Pada tahun 1971, berjuta penduduk Bangladesh melarikan diri ke Assam kesan daripada peperangan yang berlaku. Kalangan penganalisa melihat bahawa tindakan Perdana Menteri ini merupakan langkah kerajaan untuk meningkatkan sokongan dalam kalangan penduduk majoriti yang beragama Hindu. Jika hal ini diteruskan, hampir dua juta penduduk Assam yang beragama Islam akan kehilangan kerakyatan mereka.

Terakhir, pada 12 Disember 2019, India telah melakukan pindaan terhadap Undang-undang di bawah Akta Kewarganegaraan 1955. Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) ini hanya akan memberikan kewarganegaraan kepada kalangan yang beragama Hindu, Sikh, Buddha, Parsi dan Kristian dari negara-negara Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan. Kalangan yang menganut agama Islam dikecualikan daripada Undang-Undang ini. Tindakan kerajaan India ini pastinya agak mengejutkan kerana ia dilihat bertentangan dengan prinsip pembentukan negara India yang berpegang kepada republik sekular dimana agama seseorang tidak menjadi asas kewarganegaraan.

Jika dipandang sekali imbas, Akta Pindaan Kewarganegaraan ini tidaklah menjejaskan kedudukan warganegara India kerana ia hanya menyentuh mengenai kalangan yang berada di negara-negara yang disebutkan, yang merasakan keselamatan dan kedudukan mereka terancam. Walau bagaimanapun, jika diperincikan, ia tetap memberikan petunjuk bahawa tindakan ini merupakan satu tindakan anti-Islam. Isunya ialah akta ini hanya memberikan perhatian kepada kalangan yang bukan beragama Islam. Bagaimana dengan kalangan orang Islam dari negara lain yang berada di India seperti orang Rohingya. Secara jelas, akta ini telah meletakkan satu garis pemisah antara orang Islam dan bukan Islam.

Lebih dalam, akta ini, secara tersirat dilihat sebagai satu rancangan kalangan kumpulan ekstremis India di bawah pimpinan Narenda Modi yang sememangnya mempunyai sejarah anti-Islam yang kuat untuk menjadikan India sebagai sebuah negara Hindu. Ini kerana dengan adanya akta ini, kalangan beragama Hindu terutama dari Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan yang menetap di India tanpa sebarang dokumen akan diberikan peluang yang lebih luas untuk menjadi warganegara India serta melalui proses jalan pintas. Melalui cara ini, hanya enam tahun sebagai syarat berbanding 12 tahun sebelumnya untuk membolehkan seseorang layak memohon kewarganegaraan secara naturalisasi. Mereka kemudiannya akan dibenarkan terlibat dalam proses demokrasi di India, menjadi pengundi dan secara langsung akan mengukuhkan kedudukan BJP dan Narenda Modi sendiri.

Kalangan penganalisa melihat tindakan yang dilakukan oleh Narenda Modi ini kesan langsung daripada hubungan yang semakin erat antara India dan Israel. Malah, tindakan-tindakan ini menyamai dengan usaha Israel mengawal dan menyekat orang Islam. Israel menggunakan kaedah perundangan serta ketenteraan untuk mengawal orang Palestin. Malah, Narenda Modi merupakan Perdana Menteri India pertama yang melakukan lawatan kerja ke Israel pada tahun 2017, serta membuat pembelian persenjataan Israel. Maka tidak hairanlah jika kaedah-kaedah yang dilakukan oleh Israel turut kemudiannya diguna pakai oleh Narenda Modi terhadap orang Islam di India.

Tindakan kerajaan India telah menimbulkan pelbagai reaksi termasuk dari Malaysia. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, sewaktu bercakap dalam Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 menyatakan bahawa undang-undang tersebut bertentangan dengan prinsip India sebagai sekular. Ini kerana undang-undang ini dilihat memisahkan kewarganegaraan sesetengah orang Islam. Tindakan ini agak kurang disenangi oleh India hingga dilaporkan memanggil Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India untuk memberi penjelasan. Walau bagaimanapun, ini bukan kali pertama Tun Mahathir memberi kritikan terhadap India, kerana sebelum ini beliau juga lantang menyuarakan pandangannya terhadap tindakan India di Kashmir. Malah, dalam konteks ini, Tun Mahathir merupakan antara pemimpin Islam yang lantang mengkritik tindakan-tindakan yang dilakukan oleh India yang dilihat menjejaskan masyarakat Islam.

Di India sendiri, bantahan terhadap undang-undang ini telah menyebabkan demonstrasi dilakukan. Menariknya, bukan sahaja orang Islam yang melakukan bantahan, malah kalangan orang India yang bukan beragama Islam turut melakukan bantahan. Bantahan tersebut bukan sahaja membawa kecederaan dan kematian, malah ramai yang telah ditangkap. Bantahan terhadap akta pindaan kewarganegaraan ini dilihat menjadi penutup tahun 2019 di India, namun pastinya, ia tidak akan berhenti kerana isu mengenainya telah dibawa ke Mahkamah Agung (Supreme Court) dan akan mula dibicarakan pada awal tahun 2020. Pastinya keputusan mahkamah akan menjadi penentu terhadap nasib rang undang-undang pindaan ini, yang secara langsung akan mempengaruhi tindakan kerajaan India seterusnya.


*Dr. Azharudin Mohamed Dali merupakan pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. 

**Pandangan yang dizahirkan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.





Source link