SUNGAI PETANI: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, menyindir segelintir golongan masyarakat yang memperlekehkan pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan keamanan negara.

Beliau berkata, keamanan yang dikecapi negara kini adalah hasil keberanian pasukan keselamatan yang berjuang tanpa mengenal lelah walaupun tercedera ketika melaksanakan tugas.

“Tadi kita bertemu dengan beberapa orang tentera yang kena jerangkap samar, harap jutawan-jutawan Malaysia tahulah kerana mereka ini sampai kena jerangkap samar (mereka) dapat berniaga dan kaya raya sekarang ini.

“Kalau orang-orang yang pandai berniaga ini, cekap sangat berniaga, pergilah berniaga di Afghanistan nak tengok untung atau rugi, tetapi sekarang bila negara aman temteram damai, mereka yang dapat berniaga boleh berniaga dengan begitu baik membuat keuntungan, mereka dah lupa jasa-jasa angkatan tentera Malaysia,” kata Mohamad dalam ucapan sempena majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), dekat Sungai Petani, pada Jumaat.

Terdahulu, beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap penghinaan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap anggota tentera.

Bagi beliau, mengkritik ATM tidak ada masalah, tetapi jangan sekali-kali menghina anggota tentera yang berjuang demi tanah air kita.

“Bagi saya mengkritik angkatan tentera tidak menjadi masalah, jangan sesekali menghina angkatan tentera dan veteran angkatan tentera, sebab itulah kita merasa kesal, kerana kita tahu barangkali mereka tidak dapat lihat operasi yang dijalankan, ada anggota tentera laut Malaysia, 265 hari berada di laut,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, seramai 500 veteran ATM dianugerahkan PJM hari ini sebagai penghargaan terhadap jasa dan bakti yang dicurahkan semasa bertugas.





Source link