KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) masih tidak dapat memulakan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi sehingga pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih mencapai tahap 0 ton.

Air Selangor menjelaskan setakat bacaan direkod 11 pagi semalam (22 Dis) kadar pencemaran telah turun ke paras 1 ton, dan pihaknya menjangkakan ia akan turun ke paras 0 ton sekiranya hujan lebat pada belah petang yang diharapkan dapat mempercepat proses pencairan pencemaran itu.

“Namun berdasarkan pemantauan sehingga 6 pagi hari ini, kadar pencemaran bau masih kekal di paras 1 ton dan adakalanya naik ke 2 ton, jadi kita masih belum dapat memulakan pengoperasian di dua LRA ini sehingga pencemaran bau ini mencapai paras 0 ton,” menurut Air Selangor lagi..

Air Selangor berkata penangguhan pengoperasian kedua-dua LRA itu perlu bagi mengelakkan bau yang tidak diingini berlaku pada air terawat di LRA terbabit dan seterusnya menjejaskan pengguna.

“Kita telah turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsertium Sdn Bhd (IWK), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) bagi menangani masalah pencemaran bau ini.

“Air Selangor amat kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang mencemarkan sungai sehingga menyulitkan semua pihak terutamanya 336,930 akaun pengguna air di wilayah sini,” demikian menurut kenyataan itu.

BACA: Air Selangor tambah pili awam kawasan terjejas bekalan air

BACA: Sungai Semenyih tercemar lagi, lebih 328,000 pengguna berdepan gangguan bekalan air

Air Selangor turut berkata sementara itu pihaknya akan menyalurkan bantuan bekalan kecemasan berterusan melalui lori-lori tangki air, edaran botol air minum, pengaktifan Pusat Khidmat Setempat dan 14 Pili Awam yang akan beroperasi 24 jam sehari di lokasi terbabit di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

“Kaunter pembelian air untuk pihak ketiga juga telah dibuka bermula hari ini dan boleh dilakukan menerusi kaunter-kaunter di wilayah tidak terjejas di Kuala Lumpur, Gombak dan Klang,” katanya.

BACA: Jumlah gangguan air masih terkawal – MB Selangor

BACA: Pembuangan sisa secara haram, jejas operasi loji IWK

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai status semasa pencemaran bau itu boleh melayari laman web www.airselangor.com atau menghubungi Air Selangor di talian 15300.

— BERNAMA





Source link