MUZIK adalah antara sebahagian daripada elemen yang melengkapkan rutin seharian manusia. 

Melodi dan lirik yang indah sering dianggap sebagai terapi kepada sebilangan kita.

Kerana itu, tidak hairanlah sebuah lagu yang hadir dalam pakej yang sempurna amat mudah menangkap perhatian pencinta muzik.

Dalam konteks ini, melodi-melodi tempatan seperti juga karya-karya antarabangsa sentiasa diminati oleh pendengar dan sepanjang 2019, terlalu banyak lagu popular menjadi siulan.

Namun, daripada jumlah besar lagu-lagu yang dihasilkan komposer tempatan, terdapat sejumlah kecil yang muncul sebagai karya yang paling diminati ramai.

Gempak senaraikan kepada anda 10 buah lagu paling meletop bagi 2019.

1. Mimpi (feat. Alif) – K-Clique 

Nama K-Clique antara yang paling menyerlah pada tahun 2019. Mimpi turut menampilkan penyanyi Alif merupakan hasil nukilannya bersama sebahagian besar anggota K-Clique sendiri.

Selain Mimpi, kumpulan hip hop yang dianggotai oleh lapan pemuda turut cemerlang dengan lagu berjudul Haa Tepok.
 
2. Sumpah – Naim Daniel

Nama Naim Daniel terus meledak tahun 2019 hanya kerana lagu Sumpah. Tambah popular apabila lagu ini dipilih sebagai lagu runut bunyi drama popular berjudul Pia yang turut dilakonkan oleh Naim.

Hasil ciptaan Naim Daniel dan Omar K, lagu ini turut tersenarai di antara 12 lagu yang bakal berentap di Anugerah Juara Lagu pada Februari depan.

3. Sesungguhnya 2019 – Alif Satar dan Raihan 

Antara pencetus fenomena tahun ini, lagu Sesungguhnya yang pernah popular sekitar tahun 1997.

Gabungan suara merdu Alif Satar dan Raihan ini cukup menyentuh perasaan dan mengubat rindu terhadap kumpulan nasyid popular tersebut setelah sekian lama menyepi.
 
4. Donde – Andi Bernadee

Tahun 2019 antara penanda aras cemerlang bagi bekas bintang Big Stage 2018 ini.

Hasil ciptaan sepenuhnya oleh Alif, lagu Donde yang disuntik elemen latin ini cukup catchy dan berjaya meletakkan Andi sebaris penyanyi lelaki berbakat besar.
 
5. Hutang – Floor 88

Kumpulan muzik yang dianggotai oleh enam anak muda ini berjaya membuatkan lagu ini segera meresap ke dalam minda walaupun pertama kali mendengarnya. 

Lagu ciptaan Zai Hamzah, Achoi Floor 88 dan Harry Khalifah ini sehingga kini telah menerima hampir 45 juta tontonan di laman YouTube.
 
6. Kisah Cinta Kita – Hafiz Suip

Menjadi antara lagu balada hit tahun 2019, Kisah Cinta Kita nyanyian Hafiz Suip turut terpilih sebagai lagu runut bunyi sebuah drama popular, Dia Menantu Rahsia.
 
Dengan lirik romantis dan melodinya yang mudah melekat di jiwa, Hafiz turut mengabadikan momen bahagia bersama isterinya, Nureffy Jasreel bersama anak lelaki mereka Muhammad Riyadh Zafri.
 
7. Ilusi – IamNeeta

Lebih setahun sepi tanpa sebarang produk baru, kumpulan IAmNeeta kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Ilusi.

Dihasilkan sepenuhnya oleh Patrick yang juga pemain gitar kumpulan tersebut, Ilusi mengisahkan seseorang yang terlalu mementingkan kesempurnaan dalam hubungan hinggakan tanpa sedar mengawal semua gerak-geri pasangan mereka.
 
8. Forevermore – Yuna

Lagu Forevermore menceritakan kisah hidup Yuna yang membesarkan di Malaysia. Daripada melodi, lirik sehingga ke video muzik, lagu ini menggambarkan keperibadian dan latar belakang Yuna!

Diilhamkan daripada melodi indah syair Melayu, lagu ini ditulis oleh Yuna, Alexandra Govere dan Robin Hannibal.
 
9. Hari Ini – Hael Husaini

Selepas Jampi, Hajat dan Haram, Hael Husaini tampil dengan naskhah baru berjudul Hari Ini.

Hasil gabungan Ezra Kong dan Hael sendiri, lagu bernafas romantik ini kerap menjadi pilihan pengantin baharu meraikan hari bahagia mereka.
 
10. Terlalu Memuja – Wany Hasrita

Lagu runut bunyi drama popular Curi-Curi Cinta ini taruhan terbaru Bintang Paling Popular 31, Wany Hasrita.

Naskhah hasil sentuhan Sharon Paul, lirik oleh Sirkhan dan Fedtri Yahya, Terlalu Memuja menampilkan sisi berbeza nyanyian Wany yang dilihat lebih matang dan mencabar.
 





Source link