[ad_1]

BANGKOK: Perayaan Songkran atau pesta air yang berlangsung setiap tahun di Thailand telah dibatalkan bagi mengelak perhimpunan massa dalam usaha membendung penularan COVID-19 di negara itu.

Rakyat Thailand meraikan Songkran, perayaan tradisi tahun baharu dari 13 hingga 15 April, yang menyaksikan orang ramai menembak air ke arah satu sama lain di bawah matahari terik selain berkunjungi ke kuil untuk bersembahyang dan melakukan upacara memberi persembahan.

Daerah Khaosan Road, yang popular dengan pengembara beg galas di ibu negara Thailand, telah membuat keputusan membatalkan pesta itu bagi mengelak penularan virus tersebut. Setiap tahun, beribu-ribu pelancong menyertai penduduk tempatan dalam acara tersebut serta aktiviti lain sempena Songkran.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) turut mengumumkan bahawa ia tidak akan menganjurkan acara dan aktiviti Pesta Songkran di bawah bidang kuasanya.

BMA juga menggesa sektor swasta di bawah bidang kuasanya untuk mengelak menganjurkan aktiviti perayaan itu bagi mengelak perhimpunan massa.

Selain itu, sambutan di Chiang Mai, pantai Patong di Phuket, Hat Yai dan Khon Kaen turut dibatalkan dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Thailand Dr Sukhum Kanchanapimai berkata negara itu hari ini mengesahkan tujuh kes baharu COVID-19 yang menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 82.

Tujuh kes baharu itu termasuk seorang aktor Thailand berusia 41 tahun dan seorang wanita warga emas berusia 63 yang merupakan kontak rapat seorang pesakit yang telah dijangkiti virus tersebut.

Beliau berkata kes baharu lain membabitkan empat orang daripada keluarga seorang wanita berusia 57 tahun yang telah melawat Jepun.

“Anak perempuan wanita itu yang berusia 30 tahun, menantu, 33, dan cucu perempuannya, 4, telah duiuji positif bagi COVID-19,” katanya dalam taklimat harian COVID-19 di sini pada Sabtu.

Beliau berkata satu kes lagi membabitkan seorang pelajar wanita berusia 20 tahun yang pulang dari Jepun.

Setakat ini, Thailand mencatat 82 kes COVID-19 dengan satu kematian dan 46 pesakit masih menerima rawatan di hospital manakala 35 orang telah dibenarkan pulang.

Sementara itu, Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur menggesa kesemua 132 rakyat negara tersebut yang menghadiri perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur agar menjalani tapisan kesihatan di hospital-hospital berhampiran.

Dilaporkan bahawa sejumlah 30 jemaah tabligh dari setiap wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat serta 42 lagi dari wilayah-wilayah lain di Thailand telah menghadiri perhimpunan itu.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link