BANGKOK: Thailand dijangka akan mengalami cuaca sejuk apabila suhu diramal menurun antara 14 sehingga 16 darjah Celsius pada bulan Disember dan Januari di utara dan timur laut.

Jabatan Meteorologi Thailand dalam satu kenyataan berkata musim sejuk di negara itu dijangka bermula pada pertengahan Oktober dan berakhir pertengahan Februari tahun depan.

“Suhu minimum di sekitar utara Thailand dijangka antara 20 hingga 21 darjah Celsius dan lebih sejuk berbanding tahun lepas.

“Suhu minimum yang melampau adalah di antara 7 hingga 8 darjah Celsius yang berada di sekitar bahagian utara dan timur laut manakala di Bangkok, suhu boleh mencecah sehingga 15 dan 17 darjah Celsius.

“Cuaca yang lebih sejuk dijangka bermula pada separuh kedua bulan Disember hingga akhir Januari,” katanya.

Jabatan Meteorologi itu berkata bagi kawasan pergunungan dan puncaknya, cuaca akan menjadi terlalu sejuk sehingga membentuk fros.

Sementara itu, di selatan Thailand, jabatan itu berkata cuaca sejuk boleh berlaku di beberapa kawasan pada hari-hari tertentu, kebanyakannya di bahagian bahagian utara.

Bagaimanapun katanya lebih banyak hujan dijangka di pantai timur dari wilayah Chumphon terutamanya pada bulan November dan Disember.

— BERNAMA





Source link