[ad_1]

AYER KEROH: Keputusan calon Ketua Menteri Melaka hanya akan ditentukan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dalam masa terdekat.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, nama calon Ketua Menteri negeri itu sudah diserahkan beliau kepada Mohd Khalil dalam pertemuan di pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Kompleks Seri Negeri pada tengah hari tadi.

“Saya telah mengemukakan nama ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Melaka yang mengambil kira semua ADUN untuk dikemukakan namanya bagi diangkat sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

“Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Melaka, yang mana Tuan Yang Terutama mempunyai kuasa muktamad mengikut peruntukan yang termaktub,” kata Zahid dalam sidang media, di sini pada Rabu.

Tambah Zahid, UMNO dan Barisan Nasional (BN) menghormati sebarang keputusan yang diambil oleh Mohd Khalil sekali gus menamatkan kemelut politik di Melaka.

Kata Zahid, selain UMNO, terdapat juga surat daripada parti tertentu yang telah dikirimkan kepada Mohd Khalil berhubung nama calon Ketua Menteri Melaka yang baharu.

“Kita faham bahawa mungkin ada terdapat surat yang telah sampai kepada Tun Mohd Khalil untuk menentukan siapakah yang dicalonkan oleh pihak berkenaan.

“Maka kita dalam UMNO dan BN akan menghormati sebarang keputusan muktamad yang akan dibuat TYT,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.

Zahid sebelum itu mengadakan pertemuan bersama Mohd Khalil selama dua jam di Kompleks Seri Negeri yang berakhir pada pukul 1.50 petang.



[ad_2]
Source link