[ad_1]

KUANTAN: Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Demikian peribahasa yang boleh digambarkan dengan keperibadian Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sanggup turun dari kenderaan baginda untuk membantu mangsa kemalangan hari ini.

Keprihatinan Tengku Hassanal sama seperti ayahandanya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sememangnya dikenali sebagai raja berjiwa rakyat.

Walaupun hujan lebat, namun itu bukan halangan buat Tengku Hassanal membantu dua mangsa kemalangan berkenaan di Kilometer 103.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Lanchang, Temerloh sekitar pukul 2 petang itu.

Pemangku Raja Pahang yang ketika itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur mencemar duli turun dari kenderaan untuk memeriksa keadaan dan bertanya khabar kepada pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan itu.

Dalam kemalangan itu, sebuah kenderaan berwarna hitam terbalik namun mangsa yang dipercayai dari Sungai Lembing itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan yang serius.

Sebelum itu, di sebelah pagi, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi mencemar duli turun dari kenderaan rasmi baginda bagi memeriksa keadaan mangsa kemalangan berhampiran plaza tol Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

BACA: Agong sekali lagi turun kenderaan periksa mangsa kemalangan Lebuhraya MEX

Video ihsan Shafieq Johari



[ad_2]
Source link