[ad_1]

KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi (telco) seperti Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Bhd (TM) kini meningkatkan lagi sokongan kesalinghubungan untuk rakyat bagi keperluan kerja serta pendidikan dengan memanjangkan akses penawaran Internet Produktiviti 1GB percuma kepada 24 jam.

Sebelum ini, akses harian secara percuma kepada data berjumlah 1GB itu hanya disediakan dari 8 pagi hingga 6 petang.

Dalam satu kenyataan bersama, telco-telco tersebut berkata sokongan ini akan berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 31 Dis 2020, atau pelanggan boleh merujuk kepada penyedia perkhidmatan mereka untuk tarikh permulaan.

“Semua pelanggan pascabayar dan prabayar yang aktif di bawah telco masing-masing boleh menikmati internet percuma harian sebanyak 1GB untuk pembelajaran dan sebagai alat produktiviti, serta bagi keperluan melayari internet kecuali media sosial, penstriman video, permainan dan penstriman muzik,” kata kenyataan itu

Internet percuma 1Gb yang disediakan setiap hari melebihi peruntukan data bulanan pelanggan dari rancangan mereka yang sedia ada, bermaksud pelanggan dapat menebus sehingga 30Gb data sebulan secara percuma.

“Pelanggan dinasihatkan supaya merujuk kepada telco mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang cara menebus tawaran internet percuma harian dan senarai perkhidmatan yang disertakan,” katanya.

Inisiatif bersama internet percuma 1GB setiap hari ini, merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sebagai tambahan kepada internet percuma harian 1GB setiap hari, telco akan terus menawarkan akses percuma dan tanpa had kepada pelbagai aplikasi termasuk perkhidmatan yang berkaitan dengan maklumat untuk memastikan rakyat Malaysia terus mendapat maklumat terkini mengenai COVID-19,” kata kenyataan itu.

Senarai tersebut merangkumi aplikasi Mysejahtera dan Mytrace termasuk laman web kesihatan serta talian penting seperti Hotline CPRC, Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta banyak lagi.

“Sebagai sokongan kepada pengguna dan perniagaan Malaysia, pihakl telco juga telah menyampaikan pelbagai tawaran prabayar dan pascabayar yang berpatutan sejak beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya, sambil menambah pelanggan digalakkan untuk meneroka pelan-pelan ini dengan penyedia perkhidmatan mereka.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link