KUALA LUMPUR: Lima filem Korea pelbagai genre akan ditayangkan secara percuma kepada audiens Malaysia semasa Pesta Filem Korea 2019 pada 21 hingga 24 Nov di GSC Mid Valley di sini.

Menurut kenyataan Kedutaan Korea Selatan di Kuala Lumpur, bakal ditayangkan termasuk filem aksi bertajuk ‘Secretly Greatly‘ (2013) yang dibintangi Kim Soo-hyun.

Empat lagi terdiri daripada filem drama jenayah ‘The Classified File‘ (2015), filem aksi ‘Kundo: Age of The Rampant‘ (2014), filem komedi ‘Wonderful Nightmare‘ (2015) dan filem animasi ‘The Road Called Life‘ (2014).

Mereka yang berminat perlu mengemukakan cetakan atau tangkap skrin – pada peranti mudah alih – mana-mana foto atau artikel mengenai pesta itu dalam mana-mana penerbitan, hantaran secara online dari platform media rasmi atau saluran digital GSC untuk menebus dua keping tiket percuma dari kaunter tiket GSC Mid Valley.

Penebusan akan bermula dari 20 Nov dan berdasarkan siapa cepat dia dapat, sementara tiket masih ada.

Dapatkan butiran lengkap jadual filem dengan melayari www.facebook.com/koremy.eng atau www.gsc.com.my.

— BERNAMA





Source link