KUALA LUMPUR: Pengundi harus menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sebagai referendum rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, ia susulan kenyataan dan pelbagai janji politik pemimpin-pemimpin PH sendiri yang dikatakan tidak mempunyai asas kukuh penyelesaian kepada masalah yang melanda.

“Sepanjang minggu kempen, pelbagai perkara aneh ditonjolkan pemimpin PH di Tanjung Piai, ada yang ‘mengarwahkan’ calon, ada yang menyentuh isu pegawai kerajaan malah ada yang memberi pelbagai formula luar biasa untuk memulihkan ekonomi negara.

“Sebagai contoh, apa status janji Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang pernah berjanji untuk menyediakan peluang satu juta peluang pekerjaan kepada anak muda selain janji untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Dia juga berjanji untuk menaiktaraf kompleks sukan di sini dengan alasan meneruskan permintaan Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik. Apakah Syed Saddiq mahu pengundi di sini menanti lebih lama untuk melihat kompleks sukan itu wujud di Tanjung Piai?” soalnya ketika menghubungi Astro AWANI di sini, pada Khamis.

BACA: Jangan pilih calon yang salah kerana perasaan marah – Tun Mahathir

BACA: PRK Tanjung Piai: ‘Menyusahkan’ – Tok Mat gesa arahan permit kempen dikaji semula

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin calon PH mampu meneruskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Allahyarham Dr Md Farid.

Karmaine Sardini yang juga merupakan Ketua Bahagian Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) juga disifatkan sebagai individu yang sudah memahami hati penduduk di Tanjung Piai.

Tegas Bastien yang juga Ketua Pemuda UMNO Segamat, rata-rata pengundi juga sudah muak dengan alasan selain isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Najib Tun Razak atau isterinya, Datik Seri Rosmah Mansor.

“Pengundi hanya mahukan Kerajaan PH berfungsi seperti yang mereka gembar-gamburkan sebelum ini. Janji-janji mereka harus ditunaikan kerana mereka memilih PH pada PRU lalu bersandarkan manifesto yang menarik.

“Tidak perlulah Kerajaan PH datang ke sini lagi untuk membawa janji-janji baharu kerana sudah terbukti kegagalan sebelum ini dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

“Kereta juga masih belum terbang, tol masih perlu dibayar dan harga petrol yang masih di paras tinggi bukti janji mereka sebelum ini hanya fantasi semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu Bastien turut memberi amaran kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar berhenti memainkan api perkauman terutama semasa kempen di Tanjung Piai.

“Rakyat hari ini akhirnya dapat melihat dengan jelas bahawa kerjasama bersama Pas tidak menghalang BN untuk meletakkan calon daripada kaum Cina.

“Kita sudah buktikan bahawa Muafakat Nasional adalah untuk semua kaum. Di bawah BN semua kaum akan dapat bergerak seiring dan segala hak-hak mereka akan dilindungi seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan,” ujarnya lagi.





Source link