MANILA: Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee enggan menyalahkan percaturan taktikalnya menggunakan formasi 3-4-3 sebagai punca kegagalan anak buahnya tersingkir awal di peringkat kumpulan pada temasya Sukan SEA ke-30 di sini.

Beliau berkata sesetengah pihak cuba membangkitkan isu kesilapan taktikal sebagai punca skuad negara kalah 1-3 kepada Kemboja pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Memorial Rizal, di sini, pada Rabu.

“Apabila kita layak ke peringkat suku akhir (Sukan Asia 2018) dengan menewaskan Korea Selatan, tak ada orang yang mempersoalkan formasi saya, tetapi kenapa mempertikaikan sekarang sedangkan ramai pemain yang sama.

“Jika kita melihat pada formasi, macam-macam formasi yang kita boleh bermain, tetapi kalau kita tidak boleh bermain mengikut kehendak kita, kerana itu keputusan tak menyebelahi kita,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Keputusan itu menyaksikan Kemboja mengiringi juara kumpulan, Myanmar ke saingan separuh akhir.

Kim Swee menegaskan pencapaian buruk skuad negara pada temasya dwitahunan itu bukan bererti dunia sudah kiamat tetapi sebaliknya beberapa pasukan belasahan di Asia Tenggara sudah menunjukkan peningkatan,

Beliau mengakui skuad negara tidak layak ke saingan separuh akhir berdasarkan prestasi hambar sepanjang kempen kali ini malah menyalahkan tempoh persediaan yang singkat.

” Kita perlu menerima hakikat ini. Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa, tetapi kita harus memikirkan apa yang harus kita lakukan selepas ini supaya tidak ketinggalan daripada pasukan ASEAN lain,” katanya.

Malaysia memulakan kempen dengan keputusan seri 1-1 menentang Myanmar, sebelum dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Filipina sebelum bangkit menewaskan Timor Leste 4-0.

Keputusan itu menyaksikan episod Sukan SEA 1991 Manila berulang, apabila pada edisi itu juga Malaysia tewas 0-1 kepada Filipina di venue yang sama untuk tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Sementara itu, ketua jurulatih Kemboja, Felix Agustin Gonzalez Dalmas, menyifatkan kejayaan anak buahnya membenam Malaysia sudah dijangkakan dari awal lagi.

“Dari awal lagi, kami yakin dapat menewaskan Malaysia sebagai pasukan yang hebat di rantau ini.

“Saya cukup gembira melihat kegembiraan jelas terpancar di wajah pemain dengan kemenangan besar ini. Kami berusaha keras untuk melihat kegembiraan ini. Saya percaya rekod pertemuan dengan Malaysia tidak lagi relevan. Kami perlu teruskan langkah untuk perlawanan seterusnya di separuh akhir,” katanya.

Felix Agustion, 31, yang merupakan bekas pemain tengah Argentina, dilantik membimbingan skuad B-22 Kemboja pada November tahun lalu dan mula melihat kelibatnya apabila membimbing skuad itu layak ke separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-23 , Februari lalu.

— BERNAMA





Source link