KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengarahkan pegawainya untuk berhenti meminta surat tunjuk sebab dari beberapa Felo Perdana yang dikatakan mengkritik pentadbiran menteri itu.

Dalam catatan terbaharu di Instagramnya, Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau mengambil maklum mengenai surat itu, dan tidak berhasrat melihat budaya yang sama diteruskan.

“Saya dimaklumkan ada pelatih KBS yang menerima surat tunjuk sebab kerana mencaci saya. Saya arahkan Pegawai KBS memberhentikan praktis ini.

“Saya terima kritikan dengan hati yang terbuka. Dahulu saya dibuang kerja kerana kritik BN,” katanya melalui catatan itu.

Hari ini tular di laman sosial tentang sepucuk surat dari Jabatan Belia dan Sukan yang meminta Ahli Parlimen Belia Selangor Mohammad Shakir Ariff Shaifuddin yang juga merupakan Felo Korporat memberi tunjuk sebab atas kritikan beliau terhadap Syed Saddiq.

Surat yang ditandatangani Pengarah Cawangan Kepimpinan Sahsiah Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan itu mendakwa kenyataan Mohammad Shakir Ariff di Twitter telah menjejaskan imej dan nama baik kerajaan.

Surat itu meminta tunjuk sebab dalam masa tujuh hari atau Mohammad Shakir Ariff boleh berdepan dengan tindakan di bawah Perjanjian Program Felo Korporat (Graduan).

Dalam kenyataan susulannya, Mohammad Shakir Ariff mendakwa perkataan ‘cacian’ yang digunakan oleh Syed Saddiq tidak tepat dan mengelirukan, kerana kenyataan beliau hanyalah kritikan yang profesional.




Source link