IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke majlis penutup dan penyampaian hadiah Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat negeri di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru, di sini malam ini.

Hadir sama, barisan anggota exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Imam Besar Masjid Negeri Abdul Farid Salleh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang dengan johan qari dan qariah tilawah al-Quran masing-masing dimenangi Dr Anuar Hasin dan Puteri Kalimatul Azzua Hamid.

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM9,000, pakej menunaikan haji bernilai RM10,000, plak, sijil dan hadiah iringan.

Dalam pada itu, tempat kedua qari disandang oleh Mohd Kamaruzaman Daud manakala qariah pula, Munirah Razali dan tempat ketiga qari dimenangi Mohamad Sahran Termizi dan qariah Noor Suhaiza Chulan.

Pemenang naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM7,000 dan RM5,000 berserta sijil dan hadiah iringan.

Kesemua pemenang qari dan qariah hafazan bagi kategori 1-10 juzuk, 1-20 juzuk dan 1-30 juzuk menerima hadiah wang tunai bermula RM2,000 hingga RM9,000 berserta hadiah iringan dan sijil.

Johan bagi qari dan qariah hafazan bagi kategori 1-30 juzuk yang dimenangi Muhammad Hanzalah Ahmad Sukry dan Sakinah Shahnom turut menerima pakej menunaikan haji bernilai RM10,000.

Kesemua johan qari dan qariah tilawah serta hafazan akan mewakili negeri ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 14 hingga 21 Februari.

— BERNAMA





Source link