TANJUNG PIAI: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun menjangkakan peratusan keseluruhan keluar mengundi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah sekitar 70 peratus.

Ia berdasarkan dapatan beberapa penganalisis yang menjangkakannya sekitar 65 hingga 70 peratus memandangkan PRK berbeza suasananya dengan pilihan raya umum.

Sehingga jam 10 pagi ini, peratusan keluar mengundi bagi kerusi Parlimen P.165 Tanjung Piai ini ialah sebanyak 25 peratus.

Dalam pada itu, Azhar berkata, suasana di kesemua 27 pusat daerah mengundi adalah aman dan terkawal, dan tiada sebarang laporan diterima sehingga kini.

“Saya belum mendapat laporan mengenai apa-apa (provokasi) lagi pada waktu ini.

“Cuma, di pusat-pusat mengundi di sini, terdapat orang yang berkumpul di luar, bersorak-sorak, tetapi bagi saya semua itu ‘good natured‘ (dalam suasana yang baik). Jadi, suasana amat terkawal.

“Saya tak nampak aktiviti yang secara aktif memohon untuk meraih undi buat masa ini,” katanya.

Azhar berkata demikian kepada media selepas meninjau Pusat Daerah Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mohd Yunos Sulaiman, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya akan terus memantau bagi memastikan semua pihak terlibat mematuhi undang-undang dan proses mengundi dalam keadaan terkawal.





Source link