[ad_1]

MELAKA: Tindakan seorang warga Bangladesh yang menyembunyikan identiti bagi meraih pendapatan dengan memakai kostum adiwira ‘Spider-Man’ di sekitar Bandar Hilir di sini membawa padah apabila dicekup Jabatan Imigresen Melaka.

Pengarahnya, Mohd Fauzi Abdullah berkata, lelaki berusia 38 tahun yang memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial itu ditahan sekitar jam 4.20 petang Ahad selepas sepasukan tujuh penguatkuasa menunggu di beberapa lokasi sasaran.

Selepas hampir lima jam, ‘Spider-Man’ itu memunculkan diri dan ditahan ketika sedang asyik menunggu pelanggan.

“Lelaki warga Bangladesh ini kita dapati memakai kostum Spider-Man dan mengenakan bayaran RM5 bagi setiap pelanggan yang ingin bergambar dan menyasarkan kanak-kanak dan pelancong.

“Suspek turut menjual permainan kanak-kanak dan mempunyai pembantu iaitu seorang wanita berusia lewat 40-an bersama anak perempuannya,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, lelaki berkenaan ditahan atas kesalahan tinggal lebih masa dan pihaknya mendapati dia turut memiliki salinan dokumen palsu.

Berdasarkan aduan yang diterima, lelaki terbabit dipercayai aktif sejak lebih tiga bulan lalu dan mempunyai majikan sebelum bergerak sendiri.

“Lelaki itu juga sentiasa berpindah lokasi di sekitar Banda Hilir dan tidak akan berada lama di satu-satu tempat bagi mengelakkan kegiatannya dihidu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1958/63 iaitu tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” tambahnya.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.



[ad_2]
Source link