CYBERJAYA: Isu gangguan bekalan air akibat pencemaran bau di Sungai Semenyih dipercayai ada kaitan dengan unsur sabotaj oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, insiden tersebut telah berlaku tiga kali di Selangor, di mana dua kali melibatkan lokasi sama.

Justeru, ada pihak yang memaklumkan kepada SPAN bahawa insiden tersebut sengaja dilakukan.

“Walaupun kita syaki bahawa ini adalah berkait dengan pembuangan sisa haram tetapi ada juga dakwaan di sosial media yang telah melontarkan idea bahawa ada unsur sabotaj,” katanya dalam sidang media di sini, pada Isnin.

Sehubungan itu, Charles memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis pada Sabtu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Kami tidak tahu tetapi kami percaya pihak polis akan membuat satu penyiasatan, namun kita (tidak boleh mengesahkan lagi) sama ada ini adalah proses sabotaj atau betul-betul berkait dengan sisa haram.

“Jadi, ada dakwaan bahawa kemungkinan sabotaj tetapi kita serahkan kepada pihak polis untuk menentukan,” katanya. 

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melakukan rondaan 24 jam di kawasan berkaitan.

Selain itu, katanya, pemeriksaan akan dijalankan di semua restoran makanan dan industri yang beroperasi secara haram di sekitar Selangor.

“Kami telah mengarahkan PBT untuk memantau restoran-restoran dan semua tempat makan, adakah mereka menggunakan grease (perangkap minyak).

“Sebab kita dapati dalam (saluran) ada sisa dan ia daripada lemak, dan lemak itu mesti datang daripada restoran-restoran.

“Kita juga minta PBT supaya pantau industri haram khususnya di kawasan ini supaya kita tidak mengulangi perkara sama termasuk bengkel kereta yang beroperasi secara besar-besaran,” katanya.





Source link