[ad_1]

PUTRAJAYA: Sejak pandemik COVID-19 melanda negara ini, sudah tentu ramai yang tidak dapat menunaikan ibadah di masjid terutama solat lima waktu serta solat sunat Terawih khususnya di bulan Ramadan demi keselamatan sejagat.

Namun, atas dasar tanggungjawab, rakyat segenap lapisan menyahut seruan kerajaan agar duduk di rumah bagi membantu mengurangkan penularan wabak yang mencetus keresahan di seluruh dunia.

Terima kasih juga kepada para petugas di barisan hadapan khususnya doktor dan jururawat yang bekerja keras merawat pesakit COVID-19 tanpa mengenal erti penat dan lelah.

Membincangkan mengenai kelonggara menunaikan solat di masjid, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyenaraikan garis panduan solat Jumaat dan berjemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Berikut garis panduan yang dikeluarkan beliau:

1. Semua masjid, surau Jumaat dan surau-surau terpilih boleh mendirikan solat Jumaat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat Terawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

2. Lain-lain solat secara berjemaah di masjid, surau Jumaat dan surau-surau terpilih dalam tempoh PKPB boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula selepas solat Jumaat pada 15 Mei lalu.

3. Bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah adalah tidak kurang daripada tiga orang tidak termasuk imam dan tidak lebih dari 30 orang. Ia selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

4. Pihak masjid, surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan adanya kawalan daripada pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama negeri untuk mengawal keadaan.

5. Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid, surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi sepenuhnya.

Bagaimanapun, menurut Dr Zulkfili, cadangan pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah dalam tempoh PKPB yang diusulkan dalam muzakarah khas adalah satu pandangan dan nasihat untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Bagi umat islam yang ingin beribadah di masjid atau surau di kawasan anda selepas pihak berkuasa negeri anda memberi kebenaran, ini pula peraturan yang perlu anda ikuti:

1. Melaksanakan penjarakan sosial (social distancing) di dalam dan luar masjid.

2. Jarak antara ahli jemaah adalah sejauh satu meter antara satu sama lain dan jemaah wajib memakai penutup mulut dan hidung.

3. Cara masuk dan keluar masjid mesti mengikut giliran dengan beratur serta menjaga penjarakan yang terkawal

4. Jemaah yang mengidap penyakit kronik, warga emas yang berumur 70 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun tidak dibenarkan hadir berjemaah di masjid.

5. Semua ahli Jemaah yang hadir hendaklah mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah masing- masing sebelum ke masjid.

 6. Semua jemaah hendaklah bersurai secara tenang sebaik selesai menunaikan solat.

7. Tiada perkumpulan dibenarkan selesai solat sama ada di dalam atau di luar masjid.

Bagi pihak berkuasa agama negeri-negeri pula, beberapa langkah berikut perlu dipatuhi:

* Membuka kaunter di pintu masuk bagi mengawal jumlah jemaah yang dibenarkan masuk, memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah.

* Melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wuduk sebelum dan selepas solat.

* Penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu-satu masa.

* Ahli jemaah wajib membawa kad pengenalan diri. Jika gagal berbuat demikian, ahli jemaah harus diarah pulang.

* Kehadiran setiap jemaah direkodkan dalam buku kehadiran.

* Pintu masjid hanya boleh dibuka sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selepas doa dibacakan.



[ad_2]
Source link