[ad_1]

KUALA LUMPUR: Solat Jumaat di Masjid Negara hari ini merupakan yang pertama diadakan di masjid itu semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac lalu, dan rata-rata jemaah menzahirkan kesyukuran serta kegembiraan kerana dapat menyempurnakan ibadat tersebut.

Solat Jumaat yang disempurnakan dalam tempoh 11 minit termasuk solat, khutbah dan doa hari ini diketuai Imam Besar Masjid Negara Ustaz Ehsan Mohd Hosni.

Seorang jemaah, Ahmad Mujahid Salleh Sani, 35, berkata dia begitu gembira selepas diberikan peluang menunaikan solat itu.

“Satu perasaan yang berbeza dan sukar digambarkan setelah lapan minggu tidak menunaikan solat Jumaat akhirnya diberi peluang walaupun dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) diberi penekanan,” katanya kepada Bernama sejurus selepas menunaikan solat Jumaat.

Muhammad Noriman Kamaruddin, 27, pula berkata biarpun merupakan antara kakitangan Masjid Negara, beliau sendiri tidak terlepas daripada larangan menunaikan solat Jumaat di masjid itu selepas PKP dikuatkuasakan pada Mac lalu.

“Alhamdulillah diberi keizinan kembali menunaikan solat jemaah dan solat Jumaat ini. Walaupun jumlahnya tidak ramai, saya tetap bersyukur,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati jemaah yang tiba di pintu masuk Masjid Negara diminta oleh pengawal agar mencatat butiran diri selain menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki pekarangan masjid.

SOP sama dilaksanakan sejurus tiba di dewan solat di mana kelihatan beberapa penanda diletakkan setiap satu meter sebagai petunjuk tempat jemaah boleh berdiri menunaikan solat Jumaat.

Jemaah solat Jumaat hari ini juga tidak menunaikan solat sunat Rawatib Qobliyah dan Ba’diyah seperti kelaziman sebelum PKP.

Ehsan berkata tempoh pelaksanaan solat Jumaat dihadkan bagi mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pihak pengurusan masjid mengehadkan untuk kakitangan serta yang berjiran dengan Masjid Negara sahaja untuk menunaikan solat Jumaat.

“Kelonggaran akan diberikan secara berperingkat kepada orang awam untuk turut serta mengimarahkan masjid,” katanya.

Selain Wilayah Persekutuan, turut membenarkan solat Jumaat ialah Perlis, Melaka, Johor, Perak dan Negeri Sembilan namun tertakluk kepada syarat-syarat tertentu mengikut negeri masing-masing, terutama berkaitan jumlah jemaah.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata masjid dan surau terpilih dalam Zon Hijau COVID-19 di Wilayah Persekutuan dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah secara berperingkat mulai hari ini dengan bilangan jemaah minimum tiga orang, tidak termasuk imam, dan tidak melebihi 30 orang.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link