KUALA LUMPUR: Skuad lelaki negara meraih kejayaan berganda apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2020, sekali gus layak secara merit ke Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark, Mei depan.

Pada aksi suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia di Rizal Memorium Coliseum, Manila, pada Jumaat, Malaysia mara dalam kelompok empat pasukan terbaik selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Korea Selatan.

Pemain perseorangan, Lee Zii Jia menyumbang mata pertama buat negara setelah menumpaskan Heo Kwng Hee 21-9, 21-14.

Beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak terpuji skuad negara apabila mengetepikan gandingan Choi Solgyu-Kim Won Ho; 21-19, 21-14, untuk meletakkan Malaysia di kedudukan selesa 2-0.

Pemain perseorangan kedua, Cheam June Wei mengesahkan kemaraan skuad negara ke separuh akhir selepas memperoleh kemenangan ke atas Son Wan Ho; 21-18, 9-21, 21-14.

Saingan separuh akhir menyaksikan Malaysia bertemu pemenang perlawanan antara Jepun dan Taiwan, dalam satu lagi aksi suku akhir, malam tadi.

Terdahulu, skuad wanita negara mencipta kejutan apabila mara ke separuh akhir kejohanan berkenaan, untuk layak secara merit ke Piala Uber 2020, selepas menewaskan Taiwan 3-1.

— BERNAMA




Source link