[ad_1]

PEMINAT sitkom Friends sebelum ini dikejutkan dengan berita gembira bahawa siri televisyen tersohor itu akan kembali bersatu selepas 15 tahun kali terakhir disiarkan.

Namun program khas itu yang sepatutnya mula penggambaran bulan ini dilaporkan telah ditangguh susulan kebimbangan mengenai penularan COVID-19 yang semakin meningkat di Amerika Syarikat.

The Hollywood Reporter melaporkan, penggambaran dijangka ditunda sehingga Mei namun tiada tarikh tetap diberikan.

Ketika ini, hampir semua produksi di seluruh dunia tergendala kerana semakin banyak negara mempraktikkan amalan pengasingan di rumah dan penjarakan sosial.

Menurut saranan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS), perhimpunan melebihi 50 orang perlu dielak bagi mengekang penularan koronavirus itu.

Penerbit Friends, HBO Max dan Warner Bros. TV enggan memberi komen ketika dihubungi The Hollywood Reporter.

Sebelum ini, keenam-enam bintang siri itu dilaporkan akan kembali ke set asal mereka di Studio Warner Bros di Burbank, California untuk meraikan siri itu yang bersiaran selama 10 musim hingga 2004.

Menurut sumber kepada portal Variety.com, mereka dijangka mendapat sebanyak AS$2.5 juta (kira-kira RM10.5 juta) setiap seorang untuk penyertaan dalam projek itu.



[ad_2]
Source link