[ad_1]

SINGAPURA: Seorang warga China di Singapura telah disahkan positif dijangkiti virus Wuhan, manakala seorang lagi berkemungkingan dijangkiti virus yang sama.

Portal berita Channel News Asia melaporkan, lelaki berusia 66 tahun itu yang berasal dari Wuhan, tiba di Singapura pada Isnin (20 Januari) bersama sembilan lagi ahli rombongan.

Kementerian Kesihatan republik itu pada Khamis malam memberitahu, mereka menginap di Shangri-La Rasa Sentosa Resort.

Sementara itu, seorang wanita berusia 53 tahun, juga menunjukkan hasil positif dalam ujian awal, namun menunggu pengesahan.

Anak lelaki pesakit yang disahkan positif itu, yang berusia 37 tahun, juga dalam senarai pesakit yang disyaki dijangkiti dan kini masih dalam wad.

Baki ahli rombongan itu kini dikuarantin dan bakal dipantau selama dua minggu.

Bagaimanapun, belum ada bukti yang menunjukkan virus itu sudah merebak kepada sesiapa yang lain di Singapura, kata kementerian itu.

Walaupun selepas mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menyaring suhu pelancong China di lapangan terbang, jumlah mereka yang disyaki dijangkiti di Singapura meningkat.

Kementerian itu menambah, secara keseluruhannya, terdapat 28 kes yang disyaki, melibatkan individu berusia antara setahun hingga 78 tahun. Tujuh orang telah diisytihar bebas jangkitan.

“Semua langkah berjaga-jaga akan diambil untuk mengekang penyebarannya,” ujar pengarah bahagian penyakit berjangkit di kementerian itu, Vernon Lee.

BACA: Ini lima perkara yang anda perlu tahu mengenai koronavirus

Pada Rabu, Kementerian Kesihatan Awam Thailand mengesahkan seorang wanita berusia 73 tahun sebagai mangsa pertama jangkitan koronavirus di Negara Gajah Putih itu.

Portal berita Bangkok Post melaporkan, wanita warga tempatan itu kini dirawat di sebuah hospital di Nakhon Pathom.

Wanita berkenaan jatuh sakit selepas pulang dari Wuhan penghujung tahun lalu. 

Terdapat empat kes yang disyaki jangkitan koronavirus di Thailand, melibatkan tiga warga China dan seorang warga tempatan.



[ad_2]
Source link