[ad_1]

KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 yang dijadualkan pada Isnin ini akan dijalankan secara tertutup.

Setiausaha DUN Terengganu Zulkifly Isa, dalam satu kenyataan pada Sabtu, berkata langkah itu diambil bagi menghormati arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 yang berkuat kuasa pada 18 hingga 31 Mac.

“Dalam kepentingan menjalankan sesuatu persidangan mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri, maka Sidang DUN pada Isnin ini adalah tertutup dan diadakan tanpa liputan media.

“Sidang DUN hanya berjalan setengah hari sahaja tanpa istiadat pembukaan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin seperti kebiasaan, dan titah Tuanku Sultan akan diedarkan kepada media menerusi e-mel. Bagi pihak Pejabat DUN, kami memohon maaf atas segala kesulitan ini,” katanya.

Pada Khamis lepas, Yang Dipertua DUN Terengganu Datuk Yahaya Ali berkata persidangan yang ditetapkan selama empat hari itu telah dipinda dan akan mengambil masa setengah hari sahaja dengan dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa melibatkan ketua-ketua jabatan serta barisan pemerhati.

“Menurut Perkara 16(1) Peraturan-Peraturan dan Perintah Tetap Dewan, Yang Dipertua DUN mempunyai kuasa untuk menetapkan tertib pekerjaan dewan mengikut pertimbangan beliau. Yang Mulia Tuanku As-Sultan Mizan Zainal Abidin juga tidak akan berangkat ke persidangan DUN tetapi baginda akan menghantar perutusan bertulis kepada ADUN-ADUN yang bakal bersidang.

“Hal ini dibolehkan menurut Peraturan 37 Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link