NILAI: Siasatan awal polis terhadap kehilangan seorang remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15 tahun yang dilaporkan hilang dari sebuah resort di Nilai sejak pagi Ahad, tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop menegaskan orang ramai termasuk media tempatan mahupun luar negara diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi.

Jelasnya, setakat ini kehilangan mangsa masih dikategorikan sebagai kes Orang Hilang (OH) dan siasatan pihak polis di lokasi terakhir mangsa berada iaitu di bilik penginapan resort berkenaan mendapati tiada sebarang kesan mencurigakan.

Tegasnya lagi, pihak polis tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengatakan remaja itu dilarikan seperti yang dilaporkan media antarabangsa dengan memetik sumber dari polis Malaysia.

“Setakat jam 7 petang, kami telah mengarahkan 171 orang pegawai dan anggota untuk menjalankan siasatan dan juga pencarian di kawasan yang kami jangkakan mangsa ini berada.

“Setakat ini, kami masih mengklasifikasikan kes sebagai Orang Hilang.

“Tiada elemen atau unsur jenayah setakat ini dan kami masih menyiasat kes ini sebagai Orang Hilang. Kami memberikan tumpuan pada pencarian Orang Hilang,” kata Mohamad.

BACA: Radius pencarian remaja Ireland yang hilang, Nora Anne diperluas dengan bantuan Orang Asli

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Gerakan Balai Polis Pantai, Nilai malam Isnin.

Mengulas lanjut, pihaknya menolak dakwaan media asing yang mendakwa mangsa diculik atau dilarikan pihak tertentu.

Malah katanya, berdasarkan keterangan adik mangsa, remaja perempuan tersebut dipercayai keluar sendiri melalui tingkap berdasarkan elemen tingkap yang terbuka pada pagi hari kejadian.

BACA: ‘Nora Anne perlu perhatian khusus’ – Bapa saudara rayu bantuan

Sehingga jam 7 petang tadi, pihaknya telah meluaskan kawasan pencarian kepada 8.09 hektar dan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) masih menemui jalan buntu ekoran tiada sebarang petunjuk berkaitan kedudukan remaja berkenaan.

Bagaimanapun ujarnya, pihak polis percaya remaja itu masih berada di kawasan berhampiran dan keanggotaan yang ditambah kepada 171 dengan bantuan sebuah helikopter dari Pasukan Gerakan Unit Udara (PGUU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipecahkan kepada empat zon.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan mangsa untuk terus tampil ke balai polis berhampiran dan bukan menokok tambah maklumat sehingga menjejaskan proses penyiasatan.





Source link