KUALA LUMPUR: Tun Daim Zainuddin meluahkan kekecewaan beliau terhadap pandangan yang mengatakan penyebab orang Melayu malas adalah kerana kaum itu sendiri yang sifatnya malas.

Bekas menteri kewangan itu menegaskan, banyak kejayaan telah dilakarkan orang Melayu yang menjadi kebanggaan rakyat, membuktikan kaum itu tidak malas seperti didakwa sesetengah pihak.

“Yang malas itu adalah mereka yang dapat kontrak, mereka yang dapat AP (Approve Permit), tetapi jual kepada pihak lain.

“Melayu sampai sekarang tidak malas. Kalau kita lihat kepada sejarah, Melaka dahulu jadi pusat pelabuhan yang berjaya. Itu semua (usaha) orang Melayu.

“Kita tengok yang naik LRT pagi-pagi, siapa? Orang Melayu. Yang jual nasi lemak, orang Melayu. Jadi kalau kata Melayu malas, itu tidak betullah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog bertajuk ‘Keusahawanan Sebagai Aset Negara’ pada Sidang Kemuncak e-Usahawan Hero Muda 2019 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Sabtu.

Pada sesi itu juga, Daim menyarankan kepada kerajaan supaya memberi perhatian kepada empat isu utama dalam mendepani masalah ekonomi yang dijangka perlahan tahun depan.

Beliau menggariskan empat isu utama yang sering menjadi perhatian rakyat iaitu kos sara hidup, perumahan, pakaian dan pekerjaan.

“Sekarang ini rakyat marah. Masalah makanan mahal, rumah yang mahal, serta tidak mampu untuk dimiliki.

“Jadi, perkara-perkara inilah yang perlu diberikan perhatian (oleh kerajaan),” katanya

Menyentuh mengenai pendidikan, Daim juga menasihatkan ibu bapa agar melihat minat anak-anak dan menggalakkan mereka memberi perhatian kepada bidang yang diminati berbanding memberi tekanan mendapat keputusan peperiksaan yang baik.

Katanya, masyarakat boleh mendapat banyak ilmu yang berguna dan mematangkan diri dalam menjalani hidup dengan cara banyak membaca.





Source link