[ad_1]

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan gambar tular mengaitkan dirinya sedang memberikan wang di sebuah tempat beribadah Islam berlaku di Kimanis.

 

Sebaliknya, gambar berkenaan adalah merujuk ketika beliau sedang memberi sedekah kepada sekumpulan penduduk selepas menunaikan solat Masjid Datuk Pangeran Galpam di Sandakan, baru-baru ini.

 

Mohd Shafie turut melahirkan rasa kecewanya kerana perkara itu dipesongkan pihak tertentu dengan mengaitkannya mengenai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P176 Kimanis.

 

Beliau malah memberikan penjelasan, insiden itu dipercayai dirakam pada 3 Januari lalu ketika menghadiri acara perasmian pembesaran Lapangan Terbang Sandakan yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

 

“Bukanlah tujuan kita bagi sedekah kepada mereka untuk mereka mengundi, orang Sandakan bukan mengundi di Kimanis.

 

“Macam mana sistem kita ini, takkanlah semua oleh kerana PRK Kimanis  ini jangan buat, jangan bagi bantuan orang, kenapa? Semua tidak boleh.

 

“Kita kena faham sikit peraturan-peraturan, lumpuh kerajaan ini kalau kita berhentikan semua oleh kerana PRK Kimanis,” katanya dalam sidang medianya di Kota Kinabalu, pada Isnin.

 

Difahamkan, foto tular itu disebarkan oleh beberapa pihak untuk menimbulkan persepsi negatif sepanjang kempen PRK Kimanis ini.

 

Terdahulu, Mohd Shafie turut melahirkan kekecewaannya selepas dilemparkan tuduhan daripada beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang sedang berkempen di Kimanis dengan mengatakan beliau gagal membangunkan Sabah ketika memegang potfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar suatu ketika dahulu.

 

“Ia satu taktik yang kotor, kadang-kadang mereka menceritakan saya gagal membangunkan Sabah kerana saya Menteri Luar Bandar, peruntukan dibagi oleh Kementerian Luar Bandar, RM5 bilion.

 

“RM5 bilion itu bukan saya mengurus Semporna, bukan mengurus Sabah, saya mengurus Negeri Sembilan, saya mengurus Pahang berapa peruntukan kita bagi Pahang, berapa peruntukan kita bagi Kelantan, bukannya besar RM5 bilion itu,” katanya.



[ad_2]
Source link