[ad_1]

KOTA KINABALU: Kenapa tidak? itu jawapan daripada Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) berhubung pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan Presiden parti mereka sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.

Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, cadangan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri untuk Pakatan Harapan Plus itu harus dilihat secara optimis selain mempertimbangkan soal status kesamarataan rakyat Malaysia secara amnya.

Beliau berkata, di bawah Perlembagaan, rakyat Malaysia termasuklah dari Kepulauan Borneo seperti Sabah dan Sarawak layak memimpin negara ini.

“Bagi saya sebagai orang Sabah, semua orang diterima di bawah Persekutuan dan datang dari Borneo, Sabah dan Sarawak juga boleh turut memimpin Persekutuan.

“Kenapa tidak? Kita telah tunggu ini (Perdana Menteri) untuk 57 tahun dan saya percaya kita (rakyat Sabah) juga mempunyai kemampuan dan kebolehan serta keupayaan seperti orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama barisan pimpinan sayap parti Wirawati Warisan, di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Dr Mahathir dalam sebuah forum di Kuala Lumpur telah mendedahkan Mohd Shafie dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri kesembilan bagi Pakatan Harapan Plus.

Ia sebagai mengambil kira haluan yang sama iaitu menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, mengulas mengenai isu tindakan segelintir ahli yang bertindak keluar parti baru-baru ini, Munirah menjelaskan, perkara tersebut adalah disebabkan kekeliruan mereka terhadap perjuangan parti Warisan.

Tambahnya, senario semasa dan tindakan segelintir pihak berkenaan bagaimanapun tidak menyekat perjuangan barisan pemimpin Warisan yang diberi mandat ketika Pilihanraya Umum Ke – 14 (PRU14) lalu.

“Tidak dapat dinafikan pelbagai serangan di setiap sudut untuk mencetuskan pilihanraya, sama ada di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Jika perkara ini berlaku, saya, selaku ketua Wirawati Parti Warisan Sabah dengan sukacitanya mengumumkan kami sudah bersiap siaga untuk menempuhi PRU15, dan berdiri teguh bersama Presiden Parti Warisan Sabah, Mohd Shafie Apdal dan barisan kepimpinan yang lain, “katanya.

Menurutnya lagi, momentum pemimpin Warisan tidak terjejas meskipun terdapat cubaan anasir luar yang cuba memporak-perandakan kestabilan parti pemerintah negeri Sabah itu.



[ad_2]
Source link