[ad_1]

KUALA LUMPUR: Sering membuat keputusan yang meletakkan kerajaan dalam keadaan sukar didakwa antara punca Dr Maszlee Malik diminta melepaskan jawatan sebagai menteri pendidikan, lapor sebuah portal berita pada Ahad.

The Malaysian Insight dalam laporannya menyebut keputusan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu meletak jawatan adalah atas kehendak perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi sepucuk surat yang dihantar pada 27 Disember lalu.

Portal itu mendakwa melihat surat 17 perenggan yang dihantar ke pejabat Maszlee ketika beliau sedang bercuti bersama keluarga di Amerika Syarikat.

Di akhir surat itu, lapor portal itu lagi, Dr Mahathir menyuarakan pandangan “sudah tiba masanya untuk Yang Berhormat (Maszlee) mengundurkan diri dari kabinet.”

Dr Mahathir dikatakan kecewa dengan Maszlee yang disifatkan mempunyai pandangan sendiri yang seringkali bertentangan dengan nasihat beliau, malah membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusan kabinet.

Pengajaran tulisan Jawi, pembekalan perkhidmatan Internet di sekolah, dan program sarapan percuma di sekolah rendah yang bermula hujung bulan ini merupakan antara isu yang dibangkitkan dalam surat tersebut.

Astro AWANI sedang cuba mendapatkan pengesahan berhubung perkara ini.

Pada 2 Januari lalu, Maszlee dalam sidang media khas mengumumkan peletakan jawatannya juga menyebut bahawa beliau sering dilihat menyusahkan pimpinan atas beberapa isu seperti pengajaran tulisan Jawi, pembekalan perkhidmatan Internet di sekolah, dan program sarapan percuma di sekolah rendah.

“Saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma,” katanya.

Maszlee mendakwa sepanjang 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) banyak perubahan yang telah dilakukan.

Namun ada pihak yang menafikan Maszlee membuat perubahan seperti yang didakwa sebaliknya ia merupakan perancangan pentadbiran sebelum ini.



[ad_2]
Source link